Zelenskyy mahu tamatkan perang Ukraine tahun depan


Zelenskyy mahu tamatkan perang Ukraine tahun depan
Oleh Wartawan Luar Negara
18 November 2024, 11:00 am

KYIV: Pemimpin kumpulan G7 mengesahkan sokongan berterusan kepada Ukraine selepas Presidennya, Volodymyr Zelenskyy memaklumkan mahu menamatkan perang melalui perbincangan tahun depan.

Zelenskyy berkata demikian menerusi wawancara radio yang menegaskan pihaknya akan melakukan apa sahaja supaya perang dengan tentera penceroboh Russia berakhir pada 2025 ‘melalui cara diplomatik’.

Sehari sebelum itu, beliau berkata, pemilihan semula Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) bermakna perang mungkin berakhir lebih cepat daripada yang sepatutnya berlaku.

Naib Presiden terpilih, JD Vance mencadangkan pentadbiran Trump mungkin memilih untuk membenarkan Russia mengekalkan tanah Ukraine yang telah dirampasnya di medan perang.

Namun Zelenskyy menegaskan beliau tidak mendengar apa-apa yang bertentangan dengan pendiriannya ketika bercakap dengan Trump awal bulan ini.

Sementara itu, Presiden Russia, Vladimir Putin memberitahu Canselor Jerman, Olaf Scholz semasa perbualan langsung pertama mereka dalam hampir dua tahun, perjanjian juga perlu menangani punca utama konflik termasuk perluasan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Ketika semua pihak bersedia untuk menerima kesan kemenangan Trump terhadap perang, G7 mengesahkan sokongannya terhadap Kyiv menjelang hari ke-1,000 perang pencerobohan Russia terhadap Ukraine.

“Russia kekal sebagai penghalang tunggal kepada keamanan yang adil dan berkekalan.

“G7 yang terdiri daripada Kanada, Perancis, Jerman, Itali, Jepun, United Kingdom (UK) dan AS mengesahkan komitmen untuk mengenakan kos yang teruk ke atas Russia melalui sekatan, kawalan eksport dan langkah berkesan lain,” kata pemimpin kumpulan itu dalam satu kenyataan.

Sebelum pelantikan Trump pada Januari depan, Zelenskyy bergelut untuk mendapatkan lebih banyak senjata dan pembiayaan Barat kerana khuatir dengan pendirian presiden terpilih itu yang mengkritik hebat perbelanjaan AS untuk membantu Ukraine.

Zelenskyy juga mengakui keadaan di timur Ukraine kini semakin sukar, berikutan kemajuan tentera Russia menyerang Kurakhove yang mempunyai loji janakuasa haba dan hanya tujuh kilometer (km) dari Pokrovsk, satu daripada tumpuan logistik Kyiv.

Russia juga semakin mara pada kadar terpantas sejak hari-hari terawal perang pada 2022 dengan bantuan Korea Utara yang menghantar beribu-ribu askar ke wilayah Kursk.-AGENSI

Ulasan