Adendum: ‘Adakah betul, kenapa kerajaan tidak bercakap benar?


Adendum: ‘Adakah betul, kenapa kerajaan tidak bercakap benar?
December 10, 2024

Datuk Seri Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR: Isu kewujudan adendum yang dikaitkan dengan Lembaga Pengampunan, bagi membolehkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan di rumah, telah menimbulkan kekeliruan di seluruh negara.

Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) berkata, pada 29 Januari 2024, Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong telah mengurangkan hukuman penjara sebanyak 50 peratus dan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta ke atas Najib.

Menurutnya, setelah itu persoalan mengenai kewujudan adendum yang didakwa dikeluarkan pada April 2024 mula timbul dan menjadi tular di media sosial.

“Keputusan telah semua kita ketahui. Telah berlaku satu yang dipanggil dalam undang-undang legal hukum. Ia tidak hapuskan. Ia hanya legal hukum tetapi apabila timbulnya satu isu adendum ataupun satu perintah titah tambahan yang dikatakan daripada Lembaga Pengampunan atau khususnya daripada Yang di-Pertuan Agong sendiri.

“Bermula daripada seawal bulan April tahun 2024, isu ni berbangkit berlegar di seluruh negara, di viral di seluruh media sosial. Isunya Kerajaan Persekutuan tidak pernah mengeluarkan apa-apa kenyataan untuk mengiyakan atau untuk menidakkan perkara ini menyebabkan perkara ini menjadi satu isu dalam masyarakat.

“Saya boleh sebutkan apabila keluarnya isu ini Datuk Seri Najib perayu telah memasukkan satu kes di mahkamah tinggi meminta satu perintah mandamus untuk menentukan sama ada wujud atau tidak, adendum itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Takiyuddin juga membangkitkan bahawa beberapa afidavit yang disokong oleh pemimpin politik ditolak oleh mahkamah.

“Yang Berhormat Bagan Datuk, sebagai wakil parti beliau, telah mengemukakan afidavit sokongan, begitu juga dengan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang yang turut menyertakan afidavit, serta Yang Berhormat Menteri MITI yang memohon untuk memasukkan afidavit tersebut.

“Kedua-dua afidavit, Bagan Datuk dan juga MB Pahang ditolak. Kononnya khabar angin. Menteri MITI tak dibenarkan memasukkan afidavit itu di peringkat mahkamah,” katanya.

Menurutnya, satu afidavit yang dikeluarkan oleh Muhammad Nizar Mohamad Najib, terdapat dakwaan mengenai kewujudan addendum yang dikatakan dikeluarkan oleh Yang Dipertuan Agong pada 29 Januari 2024, dan diserahkan kepada Peguam Negara.

Katanya, isu itu turut dimasukkan dalam rayuan yang akan dibicarakan pada 6 Januari 2025.

“Saya nak tanya ini adakah betul dan kenapa pihak kerajaan tidak bercakap benar mengenai kewujudan atau tidak adendum ini.

“Apakah ini bukan satu pendustaan dan penderhakaan kepada titah perintah Yang Dipertuan Agong dan ini juga terkandung dalam satu perkara yang dianggap dari segi undang-undang wrongful imprisonment kalau ianya ada melanggar peraturan. Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, rakyat Malaysia tuntut penjelasan yang jelas daripada anda,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau tidak dapat memberi jawapan mengenai kewujudan adendum tersebut kerana ia melibatkan keputusan Yang di-Pertuan Agong dan Lembaga Pengampunan.

Katanya, undang-undang tidak membenarkan beliau mengulas mengenai keputusan itu.

“Saya boleh jawab. Bagi masa lepas mahkamah saya akan bawa datang sini untuk jawab,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/12/2024

Ulasan