Antara kawasan ditenggelami banjir di Terengganu. - FOTO BERNAMA
Banjir: 6 kematian direkodkan, jumlah mangsa banjir menurun
Disember 1, 2024 @ 11:56pm
Seorang penduduk meredah banjir dengan membawa barangan keperluan untuk ke pusat pemindahan sementara selepas kawasan Taman Desa Tanjung Damai dinaiki air hari ini. - Foto BERNAMA
Jumlah mangsa banjir di tiga negeri, iaitu Pahang, Johor dan Melaka meningkat sedikit, manakala di Kelantan, Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan dan Perlis pula berkurangan.
Di Pahang, mangsa banjir meningkat kepada 1,230 orang (421 keluarga) setakat jam 8 malam ini berbanding 1,152 orang yang dilaporkan petang tadi, meliputi tiga daerah iaitu Raub, Jerantut dan Lipis.
Menurut aplikasi InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebanyak 26 PPS dibuka di seluruh negeri itu dengan Raub masih kekal mencatatkan angka tertinggi mangsa, iaitu seramai 1,092 orang, diikuti Jerantut (105) dan Lipis (33).
Di Johor, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 728 orang (199 keluarga) setakat jam 8 malam ini berbanding 528 orang petang tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr Azmi Rohani, berkata sebuah lagi PPS dibuka di daerah Segamat, iaitu Sekolah Agama Buloh Kasap, menjadikan jumlah keseluruhan PPS aktif sebanyak 17.
Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata, empat sungai iaitu Sungai Muar di Buloh Kasap, Sungai Muar di Kampung Awat dan Sungai Muar di Jeti Kampung Tekam, Segamat; serta Sungai Tangkak di Kampung Seri Ma'amor di Tangkak dilaporkan berada pada paras bahaya.
Di Melaka, jumlah mangsa meningkat sedikit kepada 241 orang (58 keluarga) setakat jam 8 malam ini berbanding 238 orang petang tadi.
Sekretariat JPBN Melaka dalam satu kenyataan, hari ini, berkata pertambahan mangsa berlaku di daerah Jasin, iaitu di PPS Seri Mendapat dengan 66 orang (18 keluarga), manakala PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Penghulu masih kekal menempatkan 95 orang (24 keluarga).
Di Kelantan, jumlah mangsa banjir terus berkurang kepada 88,742 orang (27,661 keluarga) malam ini yang ditempatkan di 253 PPS berbanding 94,214 orang petang tadi.
Keadaan semasa Wat Phothivihan yang kenali dengan 'the sleeping buddha' yang dinaiki air susulan banjir yang melanda. - Foto BERNAMA
Menerusi Portal InfoBencana JKM, jajahan Pasir Mas kekal mencatat jumlah mangsa banjir tertinggi dengan 29,338 orang, manakala Tumpat (18,640), Kota Bharu (7,940), Pasir Puteh (10,725), Kuala Krai (5,401), Bachok (6,269), Machang (6,310), Tanah Merah (4,038) dan Jeli (81).
Portal infobanjir.water.gov.my pula memaklumkan tiga sungai utama di negeri itu kekal melepasi paras bahaya, namun dalam trend menurun.
Sungai terbabit ialah Sungai Golok di Rantau Panjang yang mencatat bacaan paras air 10.88 meter (m), Sungai Golok di Tumpat (4.17m), dan Sungai Semerak di Pasir Puteh (3.13m).
Di Terengganu, jumlah mangsa banjir turut menunjukkan sedikit penurunan dengan 40,604 orang ditempatkan di PPS di seluruh negeri itu, setakat malam ini, berbanding 41,788 mangsa petang tadi.
Menurut Sekretariat JPBN, jumlah mangsa banjir di Besut direkodkan seramai 12,458 orang (3,360 keluarga) di 102 PPS; Dungun 7,647 mangsa (1,920 keluarga) di 43 PPS; Hulu Terengganu 6,694 mangsa (2,067 keluarga) di 57 PPS; dan Kuala Nerus 4,111 orang (1,076 keluarga) di 14 PPS.
Di Setiu pula, seramai 3,571 mangsa (950 keluarga) di 36 PPS; Kuala Terengganu 3,954 mangsa (998 keluarga) di 12 PPS; Kemaman 1,318 mangsa (342 keluarga) di 10 PPS; dan Marang 851 mangsa (219 keluarga) di sembilan PPS.
Selain itu, sebanyak 45 jalan Persekutuan dan negeri di seluruh Terengganu masih ditutup kepada semua kenderaan, setakat ini, berikutan paras air yang tinggi.
Di Kedah, jumlah mangsa banjir berkurang kepada 7,954 orang (2,398 keluarga) setakat jam 8 malam ini berbanding 8,468 orang (2,603 keluarga) petang tadi.
Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain, dalam satu kenyataan memaklumkan kesemua mangsa dari enam daerah itu ditempatkan di 48 PPS.
Di Negeri Sembilan, laman sesawang InfoBencana JKM melaporkan jumlah mangsa banjir terus mencatat penurunan setakat jam 8 malam ini dengan 1,198 individu (317 keluarga) ditempatkan di sembilan PPS membabitkan tiga daerah, iaitu Kuala Pilah, Tampin dan Jempol.
Di Perlis, jumlah mangsa banjir turut menurun kepada 69 orang (16 keluarga) setakat jam 8 malam ini berbanding 75 orang (18 keluarga) pada petang tadi.
Pengarah APM Perlis, Lt Kol (PA) Mohd Izaimi Md Daud, berkata 69 mangsa banjir masih berlindung di PPS SK Arau di Arau. Mereka termasuk dari Kampung Rambai, Kampung Banggol Sena, Kuala Tunggang dan Kampung Alor Setar. – BERNAMA
Ulasan
Catat Ulasan