Banjir: Waspada gelombang kedua





Banjir: Waspada gelombang kedua
TINJAUAN dari Udara menunjukkan sebahagian kawasn sawah bertukar menjadi 'lautan' akibat banjir di Kampung Bakong, Arau, Perlis semalam. UTUSAN
Oleh FATIN NORIZATI MAT ISA, SABRINA ZULKIFLI dan NAZIM SYAZWI
3 Disember 2024, 7:00 am

PETALING JAYA: Negeri-negeri di Pantai Timur diramal mengalami banjir gelombang kedua bermula 8 hingga 14 Disember ini berikutan luruan monsun yang membawa hujan lebat serta angin kencang.

Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) melaporkan, berdasarkan analisis model-model cuaca terkini, penumpuan angin dijangka berlaku di Kelantan dan Terengganu bermula hari ini sehingga awal pagi 4 Disember.

“Keadaan ini berpotensi menghasilkan ribut petir serta hujan lebat dalam tempoh tersebut. Luruan monsun pula dijangka bermula pada 8 hingga 14 Disember ini.

“Keadaan ini pula berpotensi menyebabkan hujan berterusan di timur Semenanjung dalam tempoh berkenaan,” katanya menerusi kenyataan.

Ketua Kumpulan Penyelidikan Hidraulik dan Hidrologi, Fakulti Kejuruteraan Awam Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Nor Eliza Alias, berkata, ketika musim tengkujuh biasanya berlaku kejadian hujan lebat ekstrem dalam dua fasa seperti yang berlaku dalam banjir besar pada 2007 dan 2014.

Menurutnya, gelombang kedua banjir biasanya dipengaruhi beberapa faktor seperti tanah menjadi kurang efektif menyerap hujan dan bentuk muka bumi landai menyukarkan pengaliran air ke sungai atau laut.

“Apabila keadaan ini digabungkan dengan paras air pasang laut yang tinggi, ia melambatkan lagi proses pengaliran keluar air dari lembangan su­ngai.

“Situasi ini akan meningkatkan kebarangkalian banjir jika hujan lebat berlaku semula,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, Nor Eliza berkata, kawasan yang terjejas dalam gelombang pertama dijangka menjadi lokasi pa­ling teruk sekiranya gelombang kedua berlaku.

“Selain itu, kawasan yang tidak terjejas sebelum ini juga mungkin dilanda banjir terutama jika air dari banjir pertama masih belum surut sepenuh­nya dan hujan yang lebih lebat berlaku.

“Hujan lebat yang berterusan mampu meningkatkan paras sungai dengan cepat. Jika gelombang kedua berlaku sebelum banjir gelombang pertama benar-benar surut, risiko banjir meluas akan menjadi lebih tinggi,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Sains dan Bumi, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof Dr. Aweng Eh Rak berkata, banjir gelombang kedua dijangka menjejaskan kawasan lebih luas termasuk di selatan Kelantan, berbanding gelombang pertama yang banyak melibatkan kawasan utara negeri itu.

Jelas beliau, tahap teruk banjir bergantung kepada beberapa faktor termasuk jumlah hujan dan kawasan yang terlibat.

“Sebagai contoh, gelombang pertama menyaksikan kawasan terjejas lebih teruk berbanding banjir 2014 ter­utama di daerah Pasir Mas dan Tum­pat. Antara faktor penyumbang ialah hujan lebat tertumpu di kawasan pantai, air pasang dan pelepasan air dari empangan di wilayah selatan Thailand,” jelasnya.

Dalam pada itu, Pakar Meteorologi Universiti Malaya, Profesor Datuk Dr. Azizan Abu Samah berkata, negara masih akan menghadapi beberapa lagi luruan monsun sebelum tamatnya musim tengkujuh.

“Luruan yang berpotensi menghasilkan hujan lebat berterusan bergantung kepada kehadiran sistem cuaca lain yang dapat memacu luruan tersebut.

“Intensiti hujan sangat bergantung kepada kekuatan luruan. Jika angin luruan berada dalam julat 20 hingga 30 kilo­meter per jam, hujan tidak akan seburuk yang berlaku sebelum ini,” katanya.

Dalam perkembangan ber­kaitan, jumlah mangsa yang luar biasa semasa episod banjir kali ini menjadi cabaran utama dalam memastikan bekalan makanan mencukupi di pusat pemindahan sementara (PPS).

Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, isu kekurangan makanan di beberapa PPS sebelum ini adalah kes terpencil dan tidak menggambarkan keseluruhan situasi pengurusan bencana.

Katanya, jumlah mangsa yang dipindahkan sukar diramal, sekali gus menyukarkan perancangan serta pengurusan logistik untuk PPS menerima bekalan mencukupi.

“Terdapat juga premis yang tidak digazetkan sebagai PPS kerana keperluan mendesak, menyebabkan cabaran dalam menyediakan makanan yang mencukupi untuk mangsa.

“Lokasi PPS yang terputus hubungan akibat banjir pula melambatkan penghantaran bekalan makanan dan barangan mentah ke kawasan tersebut,” katanya.

Sementara itu, Khairul berkata, NADMA komited untuk memastikan tiada mangsa banjir yang diabaikan.

Katanya, setakat ini tiada lagi sebarang aduan rasmi berhubung dakwaan barangan bantuan mangsa banjir dicuri.

“Orang ramai perlu dapatkan maklumat sahih mengenai pengurusan bencana untuk mengelakkan penyebaran berita palsu yang boleh menyulitkan proses bantuan.

“NADMA akan terus menambah baik pengurusan PPS dan memastikan usaha bantuan berjalan lancar untuk semua yang terjejas,” katanya.

Ulasan