Bina jalan ‘tahan lasak’ di kawasan risiko banjir
December 10, 2024
Dato' Siti Zailah Mohd Yusoff
KUALA LUMPUR: Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) menggesa kerajaan memberi tumpuan kepada pembinaan jalan raya yang ‘tahan lasak’ di kawasan berisiko banjir melalui Pelan Pembangunan Rangkaian Jalan Raya 2040.
Beliau berkata, banyak jalan raya, termasuk di kawasan beliau, terputus hubungan semasa banjir, menjejaskan keselamatan dan ekonomi penduduk.
“Bagaimana pelan ini menangani masalah jalan yang mudah tenggelam banjir, dan apakah langkah khusus supaya jalan tidak rosak setiap tahun akibat banjir?” soalnya.
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Siti Zailah turut menekankan perlunya pembinaan jalan raya yang mampu bertahan daripada kerosakan banjir sebagai langkah jangka panjang bagi memastikan kesejahteraan rakyat terjamin.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam jawapannya berkata, Kerajaan sedang merancang peningkatan aras jalan di kawasan sempadan seperti Rantau Panjang, Jeli, dan Tumpat bagi mengatasi masalah banjir dan kerosakan jalan.
Langkah itu menurutnya termasuk dalam rancangan Jawatankuasa Keselamatan Pembangunan Sempadan Malaysia-Thailand (KESBAN) dengan penekanan kepada pembinaan jalan tahan lasak.
Usaha itu jelasnya akan dilaksanakan secara bersepadu bersama pihak berkaitan untuk mengurangkan risiko banjir dan memastikan kelestarian infrastruktur.
Sebelum itu, beliau menjawab soalan Roy Angau Gingkoi (GPS-Lubok Antu) yang meminta Menteri Kerja Raya menyatakan status terkini Kajian Pelan Pembangunan Rangkaian Jalan Raya 2040 (HNDP 2040) untuk Sabah, Sarawak dan Wilayah serta sejauh manakah impak pelaksanaan pelan tersebut dalam menambah baik rangkaian jalan raya di Sarawak termasuk dari segi kualiti, kesalinghubungan, keselamatan dan keselesaan pengguna. – HARAKAHDAILY 10/12/2024
Ulasan
Catat Ulasan