Buka semula zon aliran bebas Wang Kelian




Buka semula zon aliran bebas Wang Kelian
Oleh Muhammad Nizam Abdul Hamid
25 Disember 2024, 7:10 am

Agak memeranjatkan apabila kira-kira 100,000 rakyat negara ini dijangka mengunjungi negara jiran, Thailand sempena cuti Krismas hari ini dan berlarutan sehingga hujung minggu ini.

Malah kira-kira 30,000 bilik hotel di Songkhla khususnya di Hatyai sudah habis ditempah sehingga 1 Januari ini. Minat pelancong Malaysia berkunjung ke selatan Thailand itu semakin menjadi-jadi terutama selepas berakhirnya pandemik Covid-19.

Dan jumlah itu seolah-olah terus bertambah dan tidak boleh disekat kunjungan rakyat Malaysia untuk melancong ke Thailand.

Apa yang menarik sangat di Thailand? Banyak tarikan boleh disenaraikan pengunjung yang datang ke negara itu.

Ia bukan sekadar hiburan malam di selatan negara itu, tetapi segala-galanya murah di negara tersebut . Daripada makanan, hotel, barangan kraf dan cenderahati tempatan juga antara yang menjadi perhatian utama pelancong. Alam semula jadi yang indah, pantai bersih pun antara yang menarik di negara itu.

Sebenarnya apa yang ada di Thailand ada juga di negara ini kecuali makanan Siam yang sedap dan murah. Tetapi malangnya produk pelancongan yang ada di Malaysia gagal menarik minat rakyat tempatan, mungkin kerana melibatkan kos yang agak tinggi.

Pulau Langkawi antara yang paling hampir dengan Thailand tetapi masih gagal menyaingi negara jiran itu. Dengan masalah feri yang terkandas di tengah laut, kerosakan dan tersangkut di jeti, keadaan tersebut amat mencabar sektor pelancongan di Langkawi.

Apapun sebenarnya keseronokan bercuti di Thailand bermula dengan negara ini terutama melalui perkhidmatan udara, kereta api dan lebuh raya yang bertaraf antarabangsa.

Mungkin kerajaan wajar melihat semula kewujudan bandar-bandar perniagaan sebelah Malaysia yang wujud di sempadan kedua-dua negara. Kawasan tersebut boleh dikatakan cuba `mencuri’ pelancong tempatan dan juga dari Thailand. Bukit Kayu Hitam, Padang Besar, Rantau Panjang antara yang sering menjadi tumpuan ramai.

Wang Kelian di Perlis juga pernah menjadi tumpuan rakyat tempatan untuk berkunjung ke zon aliran bebas itu yang diwujudkan kerana penduduk di kedua-dua negara boleh merentas sempadan tanpa menggunakan pasport.

Boleh dikatakan setiap minggu berpuluh bas membawa pelancong dari seluruh pelosok negara datang ke Wang Kelian untuk membeli-belah. Ia menjadi satu fenomena dan kegiatan ekonomi yang sangat menguntungkan bagi negeri Perlis.

Malangnya ia ditutup pada 2015 ekoran isu keselamatan terutama penyeludupan pendatang asing tanpa izin, dadah dan pelbagai barangan lain. Tarikan gua semula jadi, alam sekitar di kawasan itu tidak mencukupi untuk menarik kedatangan ramai.

Pelancong tempatan mahu juga melihat dan membeli-belah pelbagai barangan dari negara jiran. Mereka mahu makanan Siam, pakaian, produk kraf dan pinggan mangkuk dari negara jiran yang dikatakan dijual dengan murah. – UTUSANMuhammad Nizam Abdul Hamid ialah Pengarang Berita Kanan Utusan Malaysia

Ulasan