
Dulu Selangor setiap tahun No. 1 – Khir Toyo
Oleh MOHD FADHLI MOHD SULAIMAN
1 Disember 2024, 6:45 am
MUKADIMAH
BERTEMU dan berjabat tangan dengan bekas Menteri Besar Selangor, DR. MOHAMAD KHIR TOYO di Shah Alam baru-baru ini, hal pertama bermain di fikiran adalah penampilannya yang kelihatan segar dan lebih muda di sebalik umurnya mencecah hampir 60 tahun.
Senyuman dan sapaan mesranya kepada wartawan Mingguan Malaysia, MOHD. FADHLI MOHD. SULAIMAN; jurugambar, AMIR KHALID dan juruvideo, ZUID IKH RAL SAMSON membuka ruang kepada banyak perkara dikongsi bersama, khususnya ketika beliau menjalani hukuman penjara enam bulan akibat menggunakan kedudukan bagi memperoleh dua lot tanah dan banglo untuk dirinya dan isteri.
Namun, peristiwa itu sudah menjadi lembaran sejarah dan pengalaman yang mematangkan. Beliau turut menyentuh tentang UMNO. Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang itu juga bercerita tentang ‘hadiah’ penyapu yang diberi Majlis Daerah Hulu Selangor kerana tidak mencapai sasaran kutipan cukai.
DARI PEMIMPIN MENJADI RAKYAT BIASA
MINGGUAN MALAYSIA: Apa perkembangan terkini?
MOHAMAD KHIR: Alhamdulillah, saya menjalani kehidupan seperti biasa, ada perniagaan sedikit (jual kereta) untuk ‘cari makan’. Saya bertuah kerana mempunyai pengalaman ketika menjadi kerajaan, ketua pembangkang DUN Selangor, kemudian rakyat biasa. Kehidupan ini harus diteruskan walau apa pun yang dilalui dan Allah SWT sudah tentukan. Paling penting, bagaimana kita teruskan hidup pada masa hadapan. Namun, saya ikuti juga perkembangan politik semasa.
Hidup lebih tenang tanpa perhatian masyarakat?
Ya, lebih tenang. Cuma kebiasaannya, jika makan di restoran mamak, kedai tepi jalan ramai ucap terima kasih, bertanya khabar dan bergambar dengan saya. Soal rindu mahu berada dalam Kabinet Negeri, mewakili suara rakyat, saya lihat dalam politik sebegini kadang-kadang merasakan tidak sepatutnya berada dalam situasi ini. Saya cuba menjauhkan diri kerana politik kebencian bukan amalan dan prinsip hidup saya. Politik sepatutnya menyatu dan membina masyarakat, bukan membenci dan memecahbelahkan masyarakat.
Ada rancangan membuat kemunculan semula?
Jika tiada yang melanggar norma dan prinsip saya, tiada masalah. Contohnya, saya bertanding ketua bahagian, jika ada yang terlibat dalam politik wang saya tidak akan terlibat sama. Terus terang, saya mahu bantu UMNO, bukan mencari faedah menjadi ketua bahagian. Tetapi, oleh kerana keadaannya begini, terlibat politik wang dan dan mereka pilih orang yang mereka pilih sahaja. Saya pula hari ini lebih tenanglah, sebab tidak tertanggung lagi untuk memperbaiki UMNO.
Melihat pemimpin lain di puncak kuasa, Dr. tidak merasakan sepatutnya berada bersama mereka?
Tidak macam inilah. Dahulu pemimpin kita dihormati, sekarang pemimpin dibenci. Pergi kedai kopi kena ‘boo’ dan orang tidak peduli. Jadi, saya lebih selesa sekarang kerana sekurang-kurangnya, masuk kedai atau mana-mana sahaja orang tegur, beri salam dan ambil gambar. Hari ini ramai pemimpin tidak berani pergi takut kena maki. Pemimpin keluarkan kenyataan pasti ada yang kritik. Jadi, saya rasa hidup mereka lebih tertekan.
Sudah tidak lagi beramal sebagai doktor gigi?
Saya sudah berhenti tetapi mungkin masa akan datang ada juga merancang buat rawatan percuma kepada masyarakat tertentu. Ini ada rancangan masa hadapan.
Dr. jarang mengulas isu-isu negara dan rakyat. Mengapa?
Saya lihat persepsi masyarakat bukan bergantung kepada kandungan yang diulas, tetapi, siapa yang kita sokong? Ini masalahnya kerana kita tiada perbicaraan ilmiah di media sosial dan bahasa yang diguna terlalu kasar dan tidak sesuai. Sebab itu, kadang-kadang saya hanya balas yang mudah atau pendek sahaja.
Kita menghadapi situasi menyaksikan politik kebencian ke tahap maksimum. Pemimpin kita sokong walau apa pun dibuat dan seburuk mana pun tetap sokong. Jadi, perkataan diguna pun kadang-kadang keluar daripada norma kehidupan. Saya lihat budaya ini semakin parah dalam kalangan masyarakat dan diparahkan lagi oleh pemimpin yang mengeluarkan perkataan menggalakkan pengikut mereka menggunakan perkataan sama.
PENJARA
Hidup dalam penjara mencabarkah?
Tidak sangat. Saya habiskan banyak masa baca dan mengajar al-Quran kepada banduan lain dan sepanjang tempoh enam bulan ini saya lalui dengan tenang. Saya boleh fikir apa yang perlu saya lakukan tanpa gangguan, malah boleh membaca al-Quran dengan baik. Kehidupan di sana baik dan bermakna kerana banyak pelajari tentang baik dan buruk kehidupan.
VVIP
Dr. terima layanan istimewa dalam penjara selaku orang kenamaan (VVIP)?
Tidak.
YANG PENTING TIDAK ‘SAKAU’ DUIT RAKYAT
Seberapa besar kesilapan lalu sewaktu pemenjaraan menjadi iktibar kepada Dr.?
Sewaktu beli rumah itu saya tidak melakukan kesilapan kerana harganya ditentukan bank dan pinjaman juga daripada bank. Tetapi, mahkamah mendapati harganya lebih murah daripada harga biasa dan saya didakwa menggunakan kedudukan untuk mendapatkannya.
Kesilapan saya menganggap beli rumah seperti ini betul, saya tidak tahu Seksyen 165 Kanun Keseksaan wujud, namun kesilapan tetap kesilapan. Saya reda yang penting saya tidak ambil duit. Itu yang buat saya rasa senang kerana tidak mengambilnya walaupun sesen pun. Ini memberi pengajaran dalam hidup supaya lebih berhati-hati.
Layanan atau pergaulan bersama banduan lain bagaimana? Dr. ditempatkan dalam satu sel dengan mereka?
Semua tiada masalah, mereka juga hormat saya. Sebenarnya saya duduk di hospital dalam penjara kerana keadaan kesihatan kurang baik, jadi saya bercampur dengan pesakit lain.
Bagaimana doktor urus tekanan mental dan emosi ketika itu?
Bayangkan seorang yang pernah menjadi menteri besar, kemudian diletakkan di tempat paling bawah dalam masyarakat. Jadi, mental harus kuat. Tetapi, saya optimis, Allah SWT sudah tentukan hidup setiap manusia. Kita perlu terima dan kita bukan milik kita, tetapi, milik Allah SWT. Allah SWT tahu apa terbaik untuk kita. Lalui perkara ini dengan baik, tanpa rasa terlalu kecewa, bina hubungan baik dengan Allah SWT dan semuanya akan baik.
Dr. pernah berdepan persepsi buruk masyarakat sebagai bekas banduan?
Tiada apalah. Ia bergantung bagaimana cara kita membawa diri, jika kita hormat orang lain, begitu juga sebaliknya. Tidak perlu terasa hati sebab semua sudah ditentukan dan sudah berlalu. Kita perlu beralah. Sebab itu, saya kata tidak ambil duit rakyat, jika ambil, sudah tentu rasa bersalah. Seperti kes pemimpin DAP yang kena ‘buang’ (gugur) dan kes saya diteruskan. Tetapi, saya tidak pernah mengeluh sebab semua sudah ditentukan.
RELEVAN
Dr. masih relevan dalam politik?
Saya mahu menyumbang dari segi pandangan dan pengalaman hidup yang mungkin orang lain tiada. Tetapi, bergantung juga dengan masyarakat, mungkin mereka anggap kita sudah terlalu lama dan tidak penting.
PENYAPU
Dr. ingat lagi kisah pemberian ‘penyapu’ pada 2007?
Ini kisah lamalah. Ini keputusan mesyuarat dan saya ikut arahan sahaja. Tiada sebab apa pun (termasuk menjatuhkan maruah penjawat awam) kerana bukan saya buat keputusan. Tiada apa yang signifikan pun sebab kalau di Korea atau negara lain, ini biasa. Cuma, apabila dipolitikkan dalam negara kita yang bermasalah.
BERTANDING
Ada rancangan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16)?
Setakat ini tiada rancangan. Memang ada parti tertentu tawarkan saya bertanding untuk pilihan raya seterusnya tetapi saya kena fikir dahululah sebab yang penting ialah sumbangan ke arah kebaikan negara, bukan jawatan. Ia juga harus sesuai dengan pemikiran dan prinsip saya.
Parti apa itu? Maksudnya ada tawarkan Dr. keluar UMNO?
Saya tidak mahu beritahu.
Pendirian Dr. masih bersama UMNO?
Ya, masih lagi dengan UMNO walaupun saya kecewa dengan UMNO.
UMNO ‘TEMPANG’
Okay, ini semakin menarik. Boleh jelaskan?
Asas penubuhan UMNO adalah memperjuang agama, bangsa dan negara sebab itu parti boleh bertahan sehingga lebih 70 tahun. Tetapi, sekarang UMNO nampaknya lari daripada perjuangan agama dan bangsa. UMNO nampak ‘tempang’ dan hari ini orang Melayu cuba mencari parti lain yang sanggup membela agama, bangsa dan negara serta menyatukan orang Melayu.
UMNO BENCI PAS
Kesilapan besar UMNO ialah membenci Pas. Kita (UMNO) sepatutnya bersahabat dengan Pas kerana kita seagama dan sebangsa cuma lain parti sahaja. Tetapi, oleh kerana pemimpin UMNO mengambil pendekatan membenci Pas dan akhirnya orang Melayu berpecah-belah. Selepas itu, budaya benci sudah ada dalam UMNO dan kedua-dua parti saling benci-membenci.
UMNO berpecah kepada Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) pun benci juga. Jadi, budaya benci ini dalam UMNO dibawa dalam Bersatu, Pas dan Parti Amanah Negara (Amanah). Ini yang ditegah oleh agama tetapi kita amalkan berpuluh tahun. UMNO mesti sedar, walaupun Pas parti lain, mereka tetap kita. Cepat atau lambat, kita mesti bersatu.
MAORI LEBIH BERSATU KETIMBANG MELAYU
Saya ke New Zealand baru-baru ini dan menyaksikan ahli Parlimen daripada suku minoriti Maori. Apabila hak keistimewaannya mahu ‘dicabut’ daripada sidang Dewan Perwakilan New Zealand, mereka bersatu meskipun berbeza parti, malah ada juga yang bukan kaum Maori pun sokong. Saya sendiri berarak dengan mereka ke Parlimen dan saya merasakan semangatnya.
Saya yakin, suatu hari nanti jika ada usaha mengubah Perlembagaan Persekutuan dan hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera, kita akan bersatu. Saya harap pemimpin muda jangan asaskan pemikiran dan prinsip politik ke arah benci orang kerana bimbang kita yang rugi dalam menilai pandangan baik orang lain hanya sebab kita benci dia.
Dr. tidak fikir kesan mengkritik UMNO?
Terpulang kepada UMNO lah. Dalam berpolitik, kita berhak memberi pandangan dan apabila pemikiran dikongkong, maknanya kita tidak bebas. UMNO mesti balik kepada asas penubuhan sebelum Pas dahulu. Mengapa Pas ditubuhkan? Kita tidak boleh nafi ketika negara merdeka, dahulu ada golongan umarak, ulama menyumbang ke arah kemerdekaan. Tetapi, apabila kita amal kebencian yang begitu lama, saya bimbang pemimpin sekarang cuba mempelopori kebencian dengan pendekatan sangat agresif.
AHMAD ZAHID, UMNO ‘DUA KALI LIMA’
Bagaimana kepemimpinan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi?
Presiden, bagi saya, bukan beliau sahaja, UMNO sendiri tidak berjuang untuk agama dan bangsa dan ini realitinya. Banyak isu sensitif yang sepatutnya diperjuangkan, namun disenyapkan UMNO dan sekarang peranan ini diambil oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang lebih berani ke hadapan.
Entahlah, jika UMNO tidak berjuang untuk orang Melayu dan Islam, UMNO akan mati sebab itu parti lemah hari ini. Bukan lemah kerana pemimpin, tetapi, kerana perjuangan parti yang tidak lagi bersungguh-sungguh demi agama dan bangsa.
MELAYU RASIS?
Orang rasakan kalau kita bercakap soal Melayu – rasis. Sebenarnya, perpaduan Melayu inilah perpaduan negara. Orang Bumiputera dan Melayu mewakili 70 peratus dan apabila bersatu, akan menguatkan negara. Masalahnya yang berlaku 70 peratus ini tidak bersatu, selebihnya pula yang bersatu. Sepatutnya, baki ini bersama-sama untuk menguatkan lagi 70 peratus supaya orang Melayu, pemerintah bersatu dan negara bergerak dengan lebih kuat.
Lihat seperti Sarawak yang saling bersatu antara mereka meskipun terdapat pelbagai perbezaan tetapi negeri ini masih boleh bergerak ke hadapan. Belanjawannya hampir RM12 bilion, sedangkan Selangor baharu RM3 bilion. Ini kesannya apabila kita bersatu. Walaupun susah, kita mesti mula dari mana-mana.
Siapa sahabat Dr. dalam UMNO?
Saya bersahabat dengan semua orang. Sahabat saya ramai, Ahmad Zahid pun kawan saya dan selalu jumpa.
BELANJAWAN SELANGOR 2025
Belanjawan Selangor tiada arah yang jelas, mahu jadi negeri perindustrian, pertanian atau perdagangan? Tidak nampak dalam belanjawan dan jika Selangor mahu jadi negeri perindustrian sebagaimana yang Barisan Nasional (BN) usahakan dahulu. Tiada kawasan perindustrian dipelopori oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), malah tidak buka kawasan perindustrian baharu.
Saya lihat banyak kilang tutup di bandar Klang dan tanah kosong sedangkan tempat ini cukup susah dimajukan semula. Tiada usaha ini dan Klang macam bandar yang mati, tinggal pelabuhan sahaja. Saya tidak nampak Pulau Indah yang dirancang dijadikan pelabuhan lebih besar mengatasi Singapura diteruskan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari okay kah?
Kalau saya cakap beliau ini okay, tidak nampaklah pula beliau bawa Selangor ini ke mana? Selangor ini negeri perindustrian. Apabila beliau bentang belanjawan pengurusan, beliau mesti mengarah kepada meningkatkan kualiti industri Selangor. Jika dahulu orang lain kerja di Selangor, sekarang sudah kerja tempat lain. Bagaimana Kedah dan Johor boleh dapat lebih banyak pelaburan daripada Selangor? Dahulu Selangor setiap tahun nombor satu.
Jadi, beliau kena lihat semula arah tuju negeri, bukan setakat memenuhi kerusi panas sahaja, sebaliknya memperbaiki pentadbiran. Masalahnya, Selangor ini kekal macam itu sahaja. Kena buka industri baharu dan fikirkan Klang yang sudah menjadi ‘bandar hantu’ sekarang, Meru banyak kilang tutup.
Jika dibiarkan, semua industri akan pergi ke negeri lain dan Selangor bermasalah. Ekonomi kita bergantung kepada perindustrian, manakala pendapatan pertanian pula tidak nampak hal ini disentuh dalam belanjawan negeri. Saya sangat kecewa dengan belanjawan, hanya kekal apa yang ada.
MASALAH DI SELANGOR
Zaman saya berjaya mengurangkan isu bekalan air dan tidak pernah ada catuan bekalan air sebab sudah buka kawasan empangan baharu. Selain itu, masalah pengurusan sampah tidak selesai. Dahulu saya sudah buat tapak pelupusan sampah di Kuala Langat dan sekarang sudah penuh. Dalam tempoh 10 tahun pentadbiran banyak yang kerajaan negeri atasi.
RASUAH
Bagaimana cara tangani jenayah rasuah dalam negara?
Malaysia kena ada akta tentang pengurusan wang parti politik atau akta berkenaan pendanaan politik. Setiap perdana menteri, menteri atau pegawai, usai berhenti menjadi menteri atau pegawai semuanya mesti isytihar. Undang-undang ini mesti jelas. Yang penting, hari ini seseorang pencen, keesokannya pergi satu jawatankuasa dan buat pengisytiharan harta. Mana yang ada lebihan, beri semula kepada kerajaan dan negara.
Jika tidak buat akta ini susah. Sekarang, sebab apa orang berani ambil rasuah? Kerana tiada siapa yang mahu semak pencen. Andaikan pencen anda disemak jika ada lebihan kerajaan ambil mahu buat apa? Paling penting pengakhirannya mesti disimpulkan. Anda peroleh RM2,000 atau RM5,000 sebulan, berapa banyak anda ada, berapa patut dan tidak patut ada? – MINGGUAN MALAYSIA
Ulasan
Catat Ulasan