Enam punca penjawat awam gagal beli rumah



Enam punca penjawat awam gagal beli rumah

10 Disember 2024 08:00am
Masa membaca: 4 minit

Seramai 688,663 penjawat awam yang masih berkhidmat belum memiliki rumah terutamanya di bandar besar.

Untuk berita terkini Sinar Harian, ikuti di Telegram dan TikTok kami

SHAH ALAM - Terdapat enam punca utama lebih 680,000 penjawat awam yang masih berkhidmat belum memiliki rumah terutamanya di bandar-bandar besar.

Pensyarah Kanan Ekonomi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Bashir Ahmad Shabir Ahmad berkata, harga pasaran rumah dan lokaliti antara penyumbang utama lebih 50 peratus penjawat awam masih belum memiliki rumah yang mana majoritinya adalah dalam kalangan kumpulan pelaksana.

“Berdasarkan statistik, kebanyakan kakitangan kerajaan ini adalah mereka yang bekerja dan tinggal di bandar besar. Ini kerana harga rumah di bandar raya terus melonjak tinggi berbanding kawasan luar bandar yang mana harga pasaran perumahan lebih terkawal.

“Justeru, keadaan ini menyebabkan ramai tidak mampu membeli rumah berhampiran tempat kerja mereka,” katanya kepada Sinar Premium.

Tambahnya, pendapatan penjawat awam yang bermula dengan gaji minimum RM1,200 dan hanya naik kepada RM1,500 dua tahun lalu tidak mencukupi untuk memenuhi kelayakan permohonan bagi pinjaman perumahan.

“Gaji rendah ini menyebabkan ramai penjawat awam gagal membeli rumah kerana tidak melepasi syarat kelayakan pinjaman yang ditetapkan oleh bank.

“Namun, kenaikan gaji kakitangan awam sebanyak 45 peratus yang diumumkan baru-baru ini diharapkan dapat membantu mengurangkan jurang pemilikan rumah dalam tempoh sekurang-kurangnya tiga tahun mendatang,” katanya.

Untuk faktor ketiga, Bashir Ahmad menjelaskan bahawa kos sara hidup di kawasan bandar sememangnya mencabar untuk membeli sebuah rumah.


“Keadaan ini menjadi lebih sukar apabila hanya seorang sahaja yang bekerja dalam sesebuah keluarga yang mana ia jelas tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan harian.

“Penurunan kadar ketidakmampuan untuk memiliki rumah dijangka mencecah hingga 30 peratus berbanding data semasa,” ujarnya.

Pada Selasa, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mendedahkan bahawa seramai 688,663 daripada 1.3 juta penjawat awam yang masih berkhidmat atau 52.95 peratus masih belum memiliki rumah.

Beliau yang menjawab bagi pihak Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) itu berkata, seramai 36,479 penjawat awam sudah menandatangani Perjanjian Jual Beli menerusi inisiatif Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM).

Jelasnya, daripada jumlah tersebut, 87 peratus pembeli iaitu 31,942 orang merupakan penjawat awam berpendapatan di bawah RM5,000 sebulan.

Mengulas strategi jangka panjang untuk mengatasi masalah berkenaan, Bashir Ahmad berkata, kerajaan perlu mewujudkan lebih banyak projek perumahan untuk kakitangan awam di kawasan bandar.

“Ia boleh dilaksanakan dengan lokasi telah dikenal pasti dan tidak terlalu jauh dari tempat kerja atau berdekatan dengan kemudahan pengangkutan awam.

“Kedua, kerajaan perlu mengutamakan pembinaan rumah secara vertikal berbanding horizontal bagi menjimatkan penggunaan tanah dan meningkatkan bilangan unit rumah yang boleh disediakan,” katanya.

Bashir Ahmad turut berpandangan, kerajaan dengan kerjasama bank tempatan, boleh memperkenalkan insentif ‘Rumah Mudah Milik’ yang mana pembeli tidak perlu membayar wang pendahuluan.

“Bagi insentif ini, pembayaran bulanan dilakukan secara progresif dengan kenaikan setiap tiga tahun.

“Walaupun kakitangan kerajaan sudah boleh mendapat kemudahan melalui Peminjam Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA), usaha ini akan memberikan lebih banyak alternatif serta kelonggaran dalam mendapatkan pinjaman perumahan,” katanya.

WANG PENDAHULUAN TIDAK CUKUP

Dalam pada itu, Profesor Jabatan Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya, Profesor Dr Nurul Shahnaz Ahmad Mahdzan turut menyatakan tiga lagi faktor penjawat awam berdepan kesukaran memiliki rumah.

“Kebanyakan penjawat awam mungkin tidak memiliki simpanan mencukupi bagi bayaran pendahuluan rumah terutama bagi golongan muda yang baru memulakan kerjaya.

“Golongan ini mungkin bergelut untuk menyimpan wang deposit rumah disebabkan pendapatan boleh guna terhad, kos sara hidup tinggi serta pelbagai cabaran ekonomi,” katanya.

Jelas beliau, kekurangan penawaran perumahan khususnya di bawah inisiatif kerajaan seperti PPAM juga menyumbang kepada masalah tersebut.

“Mungkin terdapat jurang antara lokasi atau kekurangan bekalan perumahan yang mencukupi untuk menampung keseluruhan penjawat awam. Malah, bebanan hutang dihadapi oleh penjawat awam turut menjadi halangan.

“Sekiranya mereka mempunyai hutang seperti pinjaman peribadi, kereta atau pendidikan, ia boleh membataskan kemampuan untuk meminjam bagi tujuan pembelian rumah kerana pinjaman itu perlu diluluskan oleh bank atau syarikat kewangan terlebih dahulu,” katanya.

Di samping itu, Nurul Shahnaz berkata, cadangan kerajaan membenarkan anak kepada penjawat awam atau pesara menjadi pemilik bersama walaupun mereka tidak layak memohon PPAM secara individu merupakan satu langkah yang baik.

Ini kerana beliau berkata, dengan menggabungkan pendapatan anak dan penjawat awam tersebut kemampuan untuk membeli dan membayar balik rumah akan meningkat.

“Namun, terdapat beberapa pertimbangan yang perlu diambil kira. Antaranya, anak-anak penjawat awam tersebut perlu mempunyai kemampuan dan akses untuk membayar balik pinjaman sekiranya berlaku sesuatu kepada ibu atau bapa mereka yang menjadi peminjam utama.

“Bagi penjawat awam, langkah ini dapat meningkatkan kemampuan mereka untuk memiliki rumah terutamanya apabila usia mereka sudah lanjut.

“Dengan melibatkan anak-anak yang lebih muda, tempoh pinjaman juga dapat dipanjangkan, sekali gus memberi lebih kelonggaran dalam kaedah pembayaran,” katanya.

-- INFO

6 sebab kenapa lebih 680,000 penjawat awam belum miliki rumah

1. Harga pasaran rumah dan lokaliti

2. Pendapatan penjawat awam

3. Kos sara hidup di kawasan bandar

4. Simpanan tidak mencukupi

5. Kurang rumah untuk tampung penjawat awam

6. Bebanan hutang yang tinggi

Ulasan