Gangguan mental pelajar, mahasiswa meningkat
December 4, 2024
Dr Halimah Ali
KUALA LUMPUR: Masalah kesihatan mental dalam kalangan pelajar dan mahasiswa menunjukkan peningkatan daripada 7.9 peratus pada 2019 kepada 16.5 peratus pada 2023.
Dr Halimah Ali (PN-Kapar) minta kerajaan membuat kajian terperinci secara komprehensif untuk menyelesaikan punca sebenar gangguan mental dalam kalangan pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT).
“Adakah kerajaan perlu melihat penilaian secara jujur terhadap situasi semasa. Mungkinkah polisi-polisi kerajaan juga menyumbang?
“Seterusnya, apakah kementerian berhasrat untuk mengharamkan terus penggunaan vape dalam kalangan rakyat Malaysia khususnya remaja sekolah dan mahasiswa yang menyumbang kepada gangguan psikologi dan menjejaskan kesihatan mental.
“Selain itu, nyatakan statistik pelajar yang terjebak dengan vape dan kes yang menyebabkan kematian vape dan apakah langkah kerajaan untuk menangani masalah tersebut?” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Timbalan Menteri Kesihatan, Dato’ Lukanisman Awang Sauni, berkata kementeriannya akan memberikan data berkenaan isu vape secara bertulis.
“Kerajaan sedang merancang satu pelan komprehensif berkenaan isu ini dan menjangkakan bahawa kementerian akan melancarkan pelan tindakan tersebut pada tahun hadapan,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/12/2024
Ulasan
Catat Ulasan