Guna undang-undang antarabangsa selesaikan isu Laut China Selatan
PENTING bagi semua pihak untuk merujuk kepada Konvensyen Undang-undang antarabangsa yang sedia ada seperti UNCLOS 1982, untuk mencari jalan penyelesaian kepada sebarang pertikaian. - AFP
Oleh Redza Zakaria
2 Disember 2024, 8:00 am
LAUT China Selatan dikenali sebagai satu wilayah yang menjadi rebutan negara-negara utama dalam kalangan negara ASEAN. Kini situasi di kawasan perairan yang terpenting di rantau itu semakin tegang terutama apabila China menuntut wilayah yang berdaulat terhadap tanah dan kawasan perairan yang berdekatan dengan tanah-tanah tersebut.
Ini telah menyebabkan kemarahan negara-negara yang di sekitarnya, dan juga mencabar tuntutan China, dan negara-negara ini termasuklah negara Vietnam, Kepulauan Filipina, Taiwan, Brunei dan juga negara kita, Malaysia. Negara-negara ini yang terlibat dalam pertikaian mempunyai pertindihan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) serta pentas benua.
Perkara ini sedang hangat diperkatakan apabila China dilaporkan meningkatkan keberadaan pasukan tentera dan pengawal pantai di Laut China Selatan sejak awal tahun ini. Mengapa Laut China Selatan menjadi tarikan negara-negara tersebut?
Laut China Selatan yang merupakan lokasi strategik antara Samudera Hindia and Samudera Pasifik, dengan keluasan sektor 3,500,000 km membentang dari Barat Daya ke Timur Laut, dari Singapura ke Selat Taiwan.
Pada akhir Perang Dunia Kedua, tidak ada satu pun negara yang menuntut pendudukan pulau-pulau di kawasan Laut China Selatan. Saban tahun terdapat perselisihan di Laut China Selatan yang terbahagi dari Kepulauan Paracel dan Kepulauan Spratly. Kepulauan Paracel terkait antara China dengan Taiwan.
Sedangkan Spratly melibatkan beberapa negara anggota ASEAN yakni negara- negara yang dinyatakan di atas. Kini, melalui imej satelit yang menunjukkan kesungguhan China untuk menuntut tanah yang terletak di Laut
China Selatan terutama sekali apabila meningkatkan keluasan pulau-pulau yang dimiliki oleh China atau sama ada terdapat penciptaan pulau buatan yang juga dikenali sebagai artificial island. Hal ini membimbangkan kepada negara-negara yang terlibat.
Ketua Biro Undang-undang AMK Selangor, Khairul Naim Rafidi pada 6 September 2024, mengutarakan kebimbangan tentang masalah di Laut China Selatan, mengatakan “Dalam hal ini, kepentingan dan kedaulatan kawasan maritim Malaysia harus dipertahankan berdasarkan Peta Malaysia 1979. Hal ini selaras dengan prinsip undang-undang antarabangsa yang diiktiraf secara universal…”
Pada bulan Jun 2022, Presiden Kepulauan Filipina, Ferdinand Marco Jr. menolak sebarang pendamaian terhadap China, yang telah diterajui oleh pemimpin Kepulauan Filipina yang terdahulu, iaitu Rodrigo Duterte. Peristiwa ini menjadi amat tegang apabila China dan Kepulauan Filipina bertelingkah mengenai sebuah kapal perang di Second Thomas Shoal. Di sini, pegawai Pantai Kepulauan Filipina dalam satu kenyataan berasingan memaklumkan kakitangan Sierra Madre yang ditugaskan secara penggiliran terdampar di kawasan itu sejak tahun 1999. Sementara itu, Pegawai Pantai China memaklumkan bahawa operasi bekalan diteruskan “dengan izin”.
Bagaimanapun Pegawai Pantai Kepulauan Filipina tidak memberikan maklum balas segera terhadap dakwaan China, berkenaan pengawalnya membenarkan tindakan dari Kepulauan Filipina. China dan Kepulauan Filipina mula mempunyai konflik di Second Thomas Shoal berikutan perebutan kedua-kedua negara terhadap kawasan yang berada dalam EEZ Manila sepanjang 200 batu nautika di Laut China Selatan.
Dalam masa yang sama, aktiviti tebus guna tanah oleh China juga turut mendapat tentangan daripada beberapa negara-negara yang berkepentingan di ASEAN, terutamanya Kepulauan Filipina, Vietnam dan Indonesia. Untuk mengelak sebarang pertikaian, China telah mencadangkan pembangunan bersama sebagai langkah sementara sebelum penyelesaian pertikaian kedaulatan atau sovereignty disputes.
Pada 10 Oktober, 2024, di sidang kemuncak ASEAN-China ke-27 di Pusat Konvensyen Kebangsaan (NCC) di Laos, di mana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan kepentingan dan prinsip ASEAN dalam mempertahankan kebebasannya untuk meneruskan dan menjalin hubungan dua hala dengan semua negara. Di sini, ASEAN menggesa semua kepentingan negara-negara yang terlibat dapat dilindungi bagi mengekalkan keamanan dan kestabilan di Laut China Selatan selaras dengan prinsip undang-undang antarabangsa yang diiktiraf sejagat, terutama sekali Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1982 (UNCLOS 1982). Salah satu perkara yang penting di bawah UNCLOS 1982, ialah di bawah Perkara 55 yang menyentuh mengenai definisi EEZ, iaitu sebagai “The exclusive economic zone (EEZ) is an area outside and on the border with the territorial sea, which is subject to a specific legal system established in this part and in which the rights and responsibilities of the coastal sates as well as the rights and freedoms of other countries apply the states are subject to the relevant provisions of this Convention Article 57.”
Malah, Perdana Menteri juga menegaskan operasi meneroka kawasan yang berpotensi mempunyai minyak dan gas di Laut China Selatan tidak akan dihentikan walaupun terdapatnya bantahan daripada China kononnya Malaysia telah melepasi sempadan yang dibenarkan.
Pada November 2024, Kerajaan Filipina di Manila telah memperkenalkan undang-undang maritim baharu untuk mengukuhkan tuntutannya di Laut China Selatan, manakala China mengumumkan garis dasar di sekitar Scarborough Shoal untuk menguatkan tuntutannya. Natijahnya, satu demi satu masalah yang berlaku di antara negara-negara di ASEAN dengan China mengenai tuntutan yang terdapat di Laut China Selatan.
Hal ini penting bagi semua pihak untuk merujuk kepada Konvensyen Undang-undang antarabangsa yang sedia ada seperti UNCLOS 1982, untuk mencari jalan penyelesaian kepada sebarang pertikaian sebelum ia menjejas hubungan diplomatik di antara negara-negara yang terlibat. – UTUSAN
PENULIS ialah Pensyarah Kanan Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya (UM).
Ulasan
Catat Ulasan