Had waktu kerja Jumaat, hapus waktu rehat 1 jam


Had waktu kerja Jumaat, hapus waktu rehat 1 jam

03 Disember 2024 08:00am
Masa membaca: 4 minit

Sektor kerajaan dipercayai mempunyai keupayaan untuk melaksanakan aturan kerja empat hari setengah seminggu tanpa menjejaskan produktiviti pekerja mahupun syarikat. Foto hiasan

SHAH ALAM - Sektor kerajaan mempunyai keupayaan untuk melaksanakan aturan kerja empat hari setengah seminggu tanpa menjejaskan produktiviti pekerja mahupun jabatan.

Malah, Penganalisis ekonomi di Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan (EU-ERA), THE FUTURE, Dr Mohd Yusof Saari berkata, cadangan itu dapat meningkatkan kecekapan dan produktiviti, sambil memberi ruang kepada pekerja mencapai keseimbangan antara kehidupan peribadi dan profesional.

“Kecekapan dan produktiviti sektor awam boleh meningkat dengan mengehadkan waktu bekerja pada hari Jumaat sehingga jam 12.30 tengah hari. Ramai bersetuju bahawa waktu bekerja selepas solat Jumaat tidak memberi hasil yang baik kepada kerajaan mahupun pelanggan.

“Tempoh masa antara waktu solat Jumaat dan waktu pulang yang terlalu singkat menyebabkan berlaku ketidakpatuhan terhadap peraturan masa,” katanya kepada Sinar Premium.

Tambahnya, pendekatan terbaik adalah dengan menghapuskan masa rehat tengah hari selama satu jam.

“Tempoh masa bekerja dalam seminggu perlu dikekalkan, dan kehilangan masa akibat bekerja separuh hari pada hari Jumaat perlu diganti. Oleh itu, kaedah terbaik adalah dengan menghapuskan masa rehat tengah hari selama satu jam.

“Namun, ini tidak bermakna kakitangan awam tidak boleh makan tengah hari kerana mereka masih boleh menikmati hidangan mengikut kesesuaian keadaan. Makan tengah hari tidak perlu mengambil masa selama satu jam dan tidak semestinya di kantin.

“Menghapuskan masa makan tengah hari dapat mengurangkan ketidakcekapan pengurusan masa terutamanya sektor awam yang terlibat secara langsung dengan perkhidmatan pelanggan,” katanya.

Selain itu, Mohd Yusof berpandangan, kerajaan boleh mempertimbangkan insentif masa kepada pekerja dengan membenarkan mereka menamatkan pekerjaan satu jam lebih awal apabila masa rehat tengah hari dihapuskan.

“Contohnya, individu yang memulakan pekerjaan pada jam tujuh pagi boleh menamatkan kerjanya pada jam tiga petang.

“Situasi ini memberi manfaat kepada isi rumah dan keluarga, di samping dapat menjimatkan masa yang boleh dimanfaatkan untuk urusan lain. Aturan kerja ini dijangka meningkatkan kesejahteraan individu dan keluarga,” katanya.

Sebelum ini, Johor sedang mempertimbangkan cadangan perubahan waktu bekerja sektor awam di negeri itu kepada empat hari setengah seminggu.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, cadangan itu susulan pelaksanaan cuti hujung minggu di negeri tersebut kepada Sabtu dan Ahad bermula 1 Januari tahun depan.

Susulan itu, ramai yang memberikan pendapat berbeza mengenai cadangan kerajaan pusat untuk mengikuti langkah kerajaan Johor itu.

Bagaimanapun, Mohd Yusof berkata, kebolehlaksanaan aturan kerja empat hari setengah ini akan lebih tinggi jika sebahagian besar perkhidmatan kerajaan dapat diganti dengan automasi.

“Prosedur kerja yang lapuk juga perlu disemak semula kerana proses yang dapat diselesaikan dalam beberapa jam di negara lain boleh memakan masa sehingga lima hari bekerja di Malaysia.

“Pada masa sama, jika pengurangan hari bekerja dilaksanakan, pengukuran produktiviti pekerja tidak lagi boleh bergantung kepada kaedah sedia ada. Ini bermakna kita memerlukan transformasi dalam cara pengukuran, daripada mengikut jam bekerja kepada berasaskan output,” ujarnya.

SEKTOR KESIHATAN, PENDIDIKAN DAN SSPA TIDAK TERJEJAS

Dalam pada itu, Ahli Ekonomi Utama EU-ERA, THE FUTURE, Muhamad Zharif Luqman Hashim berkata, dalam sektor kritikal seperti kesihatan dan pendidikan, pelaksanaan waktu kerja empat hari setengah perlu diimbangi dengan keperluan perkhidmatan yang berterusan.

Bagi sektor kesihatan yang sedang berhadapan dengan kekurangan tenaga kerja seperti doktor dan jururawat, Muhamad Zharif berkata, pelaksanaan ini hanya boleh berjaya jika disokong dengan pengambilan tenaga kerja baharu, peningkatan latihan tenaga kerja sedia ada serta penggunaan teknologi untuk automasi tugas yang tidak kritikal.

“Dalam sektor pendidikan, jadual pengajaran dan pembelajaran perlu dikekalkan tanpa gangguan. Oleh itu, waktu kerja empat hari setengah boleh dimulakan dengan kakitangan pentadbiran sekolah, manakala guru diberi pilihan waktu kerja fleksibel mengikut keperluan pengajaran mereka.

“Langkah ini perlu disokong dengan penyesuaian strategi operasi dan penambahan tenaga kerja bagi memastikan kualiti perkhidmatan tidak terjejas. Namun, sebarang perubahan perlu disokong oleh kajian rapi serta perancangan strategik untuk mengurangkan risiko gangguan perkhidmatan,” ujarnya.

Muhamad Zharif turut menafikan bahawa aturan kerja empat hari setengah bercanggah dengan keperluan bekerja 45 jam seminggu seperti yang ditetapkan oleh Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

“Ia tidak bercanggah selagi waktu bekerja mingguan disusun semula untuk memenuhi jumlah jam yang ditetapkan. Sebagai contoh, dengan menghapuskan waktu rehat tengah hari selama satu jam, jam bekerja pada hari lain boleh dilanjutkan sedikit untuk mengimbangi waktu bekerja yang dikurangkan pada hari Jumaat.

“Pendekatan ini memastikan keperluan undang-undang dipenuhi tanpa menjejaskan produktiviti. Pada masa sama, langkah ini memberi peluang untuk menilai keberkesanan kerja berdasarkan hasil (output-based) berbanding jam bekerja semata-mata.

“Pendekatan ini sejajar dengan usaha kerajaan untuk meningkatkan produktiviti dan kecekapan dalam perkhidmatan awam tanpa melanggar dasar sedia ada,” jelasnya.

Ulasan