Hormat kepercayaan orang lain tidak bererti gadai akidah





Hormat kepercayaan orang lain tidak bererti gadai akidah
December 25, 2024


HULU LANGAT: Islam bukan agama yang membina tembok pemisah tetapi menjunjung nilai persaudaraan dan kemanusiaan sejagat, jelas ADUN Semenyih, Ustaz Nushi Mahfodz.

Menurut beliau, menghormati kepercayaan orang lain tidak bermakna menggadaikan akidah, sebaliknya cerminan adab dan akhlak yang diajarkan oleh Islam.

Beliau mengulas demikian selepas menerima jemputan daripada Pastor Life lutheran Church, Reverend Aaron Yap sebagai tetamu kehormat ke majlis makan malam di Gereja Life Lutheran, Semenyih, di sini kelmarin.

Menurut beliau, Pastor Reverend Aaron Yap sebelum ini turut pernah menghadiri majlis Aidilfitri DUN Semenyih sebagai tanda sokongan kepada hubungan baik antara komuniti.

“Saya tersentuh dengan perhatian yang diberikan oleh penganjur terhadap keperluan saya sebagai seorang Muslim. Mereka memastikan semua makanan untuk saya dibeli dari pembekal halal, termasuk sate Samuri dan nasi lemak.

“Malah, sudu, garfu, dan peralatan makan lain dibeli baru khas untuk saya. Ini bukan sekadar layanan mesra, tetapi juga tanda hormat yang saya hargai,” katanya dalam satu muat naik berkongsi perkara tersebut.

Menurut Nushi, dalam kehangatan suasana yang harmoni itu beliau tidak menafikan turut berasa sayu memikirkan hubungan itu sering dicemari dengan racun kebencian ditanam oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Alangkah baiknya jika tiada pihak yang mengambil kesempatan menakut-nakutkan masyarakat berbilang agama dan bangsa terhadap keindahan dan keharmonian Islam (Islamofobia) demi sekelumit kepentingan politik murahan yang merugikan negara.

“Sikap terbuka yang diasaskan kepada prinsip yang kukuh inilah yang menjadi kunci kepada keharmonian masyarakat majmuk seperti di Semenyih.

“Pengalaman ini menguatkan keyakinan saya bahawa dialog dan kerjasama adalah jalan terbaik untuk membina masyarakat yang lebih bersatu,” katanya yang juga Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat. – HARAKAHDAILY 25/12/2024

share & sebarkan:

Ulasan