Insurans: Kalau bukan kerajaan siapa lagi?

Insurans: Kalau bukan kerajaan siapa lagi?
Oleh Muhammad Nizam Abdul Hamid
11 Disember 2024, 6:40 am


KENYATAAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tentang kenaikan premium insurans kesihatan di Dewan Rakyat semalam melegakan kebimbangan orang ramai terhadap sistem perlindungan itu.

Mana tidaknya, cadangan kenaikan premium antara 40 hingga 70 peratus mulai tahun depan sangat membebankan pengguna.

Bimbang dengan perkara itu, Perdana Menteri mahu kenaikan tersebut dilaksanakan atas sebab yang munasabah.

Sehubungan itu beliau mahu Kementerian Kesihatan, Bank Negara Malaysia dan syarikat insurans terlibat melihat semula cadangan kenaikan tersebut yang didakwa kerana harga ubat dan rawatan hospital yang mahal.

Pengguna memang menyatakan rasa tidak puas hati de­ngan kenaikan itu, tetapi siapalah mereka. Hanya kerajaan yang boleh campur tangan dan mempengaruhi kenaikan harga premium insurans tersebut.

Jawapan syarikat insurans untuk menaikkan kadar premium itu seolah-olah menunjukkan mereka menanggung kerugian daripada tuntutan yang dibuat oleh pelanggan.

Namun kenyataan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng tentang industri insurans dilaporkan mengaut keuntungan tinggi bagi separuh tahun pertama tahun ini agak mengejutkan.

Mengikut Bank Negara kata beliau, keuntungan pendapatan secara keseluruhan syarikat insurans nyawa dan dana takaful keluarga adalah lebih tinggi untuk separuh tahun pertama 2024 iaitu RM8.4 bilion berbanding separuh tahun kedua 2023, iaitu sebanyak RM3.2 bilion.

Jadi di mana ruginya syarikat insurans dalam menyediakan skim perlindungan tersebut?

Sebab itulah beliau menyifatkan tindakan syarikat insu­rans menaikkan premium insurans sememangnya tidak bermoral dan beretika.

Memang sewajarnya kerajaan melihat semula cadangan syarikat insurans tersebut kerana langkah rakyat memiliki insurans sendiri sebenarnya turut membantu kerajaan dan menyediakan sistem kesihatan yang lebih berkesan. Ini ke­rana mereka yang ada insurans akan pergi ke hospital swasta dan mengurangkan beban di hospital kerajaan.

Namun ia bukan bermakna mereka menjadi lubuk kepada syarikat insurans dan hospital swasta mengaut keuntu­ngan sebanyak mungkin.

Kenaikan antara 40 peratus hingga 70 peratus mungkin sedikit pada syarikat insurans dan hospital swasta. Tetapi jangan lupa kocek mereka tidak sama tebal dengan pelanggan insurans kesihatan.

Mungkin imbuhan ejen insurans dan doktor berpuluh ribu ringgit sebulan tetapi pelanggan mereka kadangkala cukup makan sahaja.

Jika berlaku kenaikan premium insurans setiap individu kira-kira RM50 atau lebih dan bayangkan jika satu keluarga dengan lima orang yang melanggan perlindungan tersebut, tidakkah mereka terbeban dengan kos itu?

Kadangkala dirasakan memiliki insurans kesihatan bukan satu kelebihan kerana syarikat terlibat juga mempunyai kerenah masing-masing.

Ini termasuk lewat melayani pelanggan yang mahu ma­suk dan keluar daripada hospital. Itu belum polisi bayar dahulu tuntut kemudian apabila mendapatkan rawatan susulan selepas keluar daripada wad.

Muhammad Nizam Abdul Hamid ialah Pengarang Berita Kanan Utusan Malaysia – UTUSAN

Ulasan