Kebebasan media vs kebebasan menciplak



Kebebasan media vs kebebasan menciplak
Oleh Aznan Bakar
1 Disember 2024, 7:00 am

SATU ketika dahulu, ketika akhbar-akhbar arus perdana dikatakan berada di ambang kepupusan, muncul pelbagai portal berita sama ada yang berhaluan kanan atau kiri. Kehadiran mereka dicanang sebagai memperjuangkan kebebasan media dan mengangkat martabat kewartawanan yang kononnya gagal diperjuangkan oleh akhbar-akhbar konvensional yang berat sebelah dan korup.


Tidak dinafikan, satu ketika, akhbar-akhbar utama yang majoritinya lahir sebelum merdeka bersikap berat sebelah kerana mereka dipegang oleh parti-parti tertentu. Tetapi era itu sudah berlalu terutama selepas berkuburnya institusi kewartawanan Melayu yang tertua di negara ini yang melahirkan tokoh wartawan dan penulis seperti Rahim Kajai, Usman Awang, Pak Sako, Said Zahari, Melan Abdullah, Zainuddin Maidin dan ramai lagi.

Walaupun kedudukan Malaysia dalam indeks kebebasan media agak merudum umumnya kerana isu-isu 3R, namun realitinya kami merasakan media hari ini semakin bebas da­ripada kongkongan politik. Ini menjadikan persaingan antara media cetak dan media digital sangat sengit kerana semua medium dan platform menyajikan berita yang seimbang.

Mungkin kerana persaingan yang sihat dan media lebih terbuka maka terdapat segelintir platform terutama yang 100 peratus online dan digital tidak mampu bertahan. Ada yang telah membuang kakitangan secara besar-besaran.Ini terma­suk platform media online yang mendakwa antara yang terawal dan terkehadapan dalam mengangkat kebebasan media.

Tetapi realitinya, golongan portal yang masuk bakul memuji diri sendiri ini kononnya bebas dan penuh integriti sebenarnya adalah penciplak paling besar.

Kami yang saban hari bertungkus-lumus menghasilkan berita-berita eksklusif sering menjadi mangsa ciplak dan plagiat portal-portal berita yang mendakwa mereka adalah pejuang kebebasan media yang penuh integriti ini.

Bagi kami di Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia, setiap berita itu amat berharga kerana ia dihasilkan de­ngan titik peluh dan kerja keras wartawan kami. Kami juga terpaksa menanggung kos yang tinggi bagi menghasilkan sesuatu berita. Sebab itu kami premiumkan kandungan tersebut, di mana untuk membacanya pembaca perlu bayar termasuk di platform online.

Tetapi malangnya semua berita eksklusif termasuk wawancara kami yang disiarkan dalam Mingguan Malaysia diciplak, diplagiat dan disiarkan semula oleh portal-portal berita terbabit.

Lebih malang, mereka yang melakukan kerja-kerja kotor ini disokong oleh rakyat Malaysia termasuk pemimpin korporat dan orang politik. Ini termasuk mengongsi artikel yang diciplak itu di media sosial mereka seolah-olah ia adalah yang asli. Sedangkan yang aslinya adalah yang disiarkan di Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia. Kami bukan sahaja kehilangan pembaca kerana perbuatan tidak bermoral ini tetapi juga hilang pendapatan kerana artikel kami yang sepatutnya perlu dibayar untuk dibaca telah diedarkan secara percuma oleh portal-portal bedebah ini.

Begitu juga dengan platform yang menggunakan nama bulan, bintang, sirap, soya, cincau, ikan dan sebagai. Majoriti mereka hanya menciplak berita daripada akhbar-akhbar utama. Tetapi para penciplak inilah yang disokong dan disanjung oleh pembaca kononnya berita mereka lebih baik dan lebih telus. Sedangkan berita itu diciplak dari Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia. – UTUSAN

Aznan Bakar adalah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia

Ulasan