Kedaulatan Batu Puteh: Pembentangan RCI di Parlimen mampu rungkai pelbagai persoalan - pakar

Kedaulatan Batu Puteh: Pembentangan RCI di Parlimen mampu rungkai pelbagai persoalan - pakar
Oleh Noor Atiqah Sulaiman - Ogos 30, 2024 @ 3:38pm
Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood (kiri) dan Salawati Mat Basir.

KUALA LUMPUR: Pembentangan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan di Parlimen, mampu merungkai segala persoalan yang membelenggu rakyat di negara ini.

Selain itu, ia juga dapat membantu kerajaan dalam menentukan bentuk tindakan selanjutnya yang boleh diambil sekiranya wujud kecuaian dalam menyelesaikan isu berkenaan.

Pakar Perlembagaan yang juga Ketua Kluster Politik, Governans dan Perundangan Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata menerusi pembentangan itu kelak mampu merungkai apa yang berlaku di Batu Puteh.

Dalam masa sama katanya, ia juga dapat mengetahui sama ada kerajaan sudah membuat persediaan terbaik atau sebaliknya dalam membahaskan kes itu di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

"Selain itu, kita juga akan dapat tahu apakah punca rayuan terhadap keputusan ICJ itu ditarik balik serta (masih ada) sebarang perkara berkaitan dengan tuntutan lain atau tuntutan akan berlaku kelak.

"Jadi persoalan yang dinyatakan ini mungkin boleh dirungkai oleh RCI apabila ia dibentangkan di Parlimen. Ini kerana di Parlimen mempunyai ruang yang amat luas untuk dibahaskan," katanya kepada BH, hari ini.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said memaklumkan laporan RCI bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan sudah dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri oleh pengerusinya, Tun Md Raus Sharif.

Katanya, Jemaah Menteri amat prihatin terhadap isu kedaulatan negara dan membuat keputusan supaya laporan suruhanjaya itu dibentangkan di Parlimen.

Pada 23 Mei 2008, ICJ memutuskan Singapura mempunyai hak terhadap Batu Puteh, manakala Batuan Tengah yang letaknya kurang satu kilometer (km) dari pulau itu milik Malaysia.

ICJ juga memutuskan hak milik Tubir Selatan, kira-kira 4km dari Batu Puteh, akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.

Mengulas lanjut, Nik Ahmad Kamal berkata persoalan sama ada sebarang perkara berkaitan dengan tuntutan lain akan berlaku kelak itu amat penting untuk dijawab supaya kerajaan mempunyai persediaan sekiranya ia berlaku.

"Jika ada lagi kes tuntutan bertindih mengenai wilayah di sekitar negara, kerajaan perlu mempunyai persediaan amat teliti jika berdepan lagi dengan ICJ nanti.



"Perbahasan nanti akan menentukan apa tindakan yang perlu diambil jika wujud kecuaian di mana-mana pihak dalam menyediakan hujahan Malaysia di ICJ.

"Disamping itu, adalah mengenai langkah-langkah penambahbaikan yang perlu diambil jika kerajaan menghadapi lagi tuntutan di ICJ seperti kes Batu Puteh," katanya.

Sementara itu, Pakar Undang-Undang Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Salawati Mat Basir berkata perbahasan berkaitan isu itu wajar diadakan supaya ia lebih telus.

"Bila di Parlimen, semuanya akan didedahkan dengan telus. Jadi mana-mana pihak nak cabar dan sebagainya, dipersilakan.

"Kalau tidak dibentangkan akan ada bisik-bisik dan sebagainya. Malaysia ini penuh dengan kontroversi tidak puas hati. Jadi bila ia dah dibentangkan di Parlimen, orang akan ambil tanggungjawab kerana itu adalah tempat paling tinggi dalam perundangan negara.

"Jadi pada saya, eloklah ia dibentangkan. Malah kita juga boleh tahu benarkah ada kesalahan yang dilakukan oleh Tun M (bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad) atau sekadar salah faham dan sebagainya.

"Dari sini, kita dapat buat tindakan lanjut dan biarlah selepas ini kerajaan menentukan hala tuju berkenaan berdasarkan kajian yang dijalankan ini," katanya.

Ulasan