Khidmat Malaysia edar bantuan pasca banjir di Kedah
December 17, 2024
Datuk Dr Ahmad Marzuk menyampai sumbangan kepada salah seorang mangsa banjir pada majlis yang diadakan di Pondok Kepala Bukit, Bukit Pinang.
POKOK SENA: Kira-kira 500 bakul makanan diagihkan kepada mangsa banjir di tiga kawasan di Kedah sumbangan Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia).
Ketua Bilik Operasi Khidmat Malaysia Negeri Kedah, Mohd Saifuddin Hassan berkata, barangan bantuan pasca banjir itu turut disumbangkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Aman Care.
Menurutnya, sasaran penerima merupakan mangsa banjir di kawasan Pokok Sena, Jerlun dan Kuala Kedah.
“Pihak Khidmat Malaysia dan wakil Aman Care, turun ke tiga kawasan tersebut dan sampaikan bakul makanan itu kepada mangsa banjir dalam majlis ringkas diurus oleh pihak kawasan,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily.
Antara yang hadir, termasuklah Pengerusi Khidmat Malaysia, Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary dan Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya.
Juga Pengarah Khidmat Malaysia Kedah, Ustaz Nurul Amin Hamid dan wakil Darul Aman Care, Ustaz Mohd Aizat Zakaria.
Sumbangan di Kampung Bagan, Pida 1, Jalan Sanglang
Kata Saifuddin, mereka diberi sedikit taklimat ringkas berkenaan operasi Markas Induk Khidmat Malaysia Kedah, sebelum bergerak ke tiga kawasan berkenaan.
“Di kawasan Pokok Sena, majlis sumbangan diadakan di Pondok Kepala Bukit, Bukit Pinang. Di kawasan Jerlun pula diadakan di Kampung Bagan Pida 1, Jalan Sanglang.
“Sementara di Kuala Kedah, bertempat di Masjid Hidayatul Solihin, Kampung Sungai Baru,” tambah beliau.
Majlis sumbangan di Pokok Sena turut dihadiri ADUN Bukit Pinang, Dato’ Wan Romani Wan Salim, di Jerlun disertai Ahli Parlimen Jerlun, Dr Abdul Ghani Ahmad dan di Kuala Kedah dihadiri ADUN Anak Bukit, Rashidi Razak. – HARAKAHDAILY 17/12/2024
share & sebarkan:
Ulasan
Catat Ulasan