
Kuala Lumpur wajib selalu bersifat Melayu-Islam
KUALA LUMPUR wajib mempamer identiti nasional dan budaya bagi rakyat Malaysia di setiap satu penjurunya.
Oleh Teo Kok Seong
3 Disember 2024, 8:00 am
POLEMIK tentang penguatkuasaan terhadap papan niaga yang melanggar Undang-Undang Kecil Iklan (Wilayah Persekutuan) 1982 telah reda. Pun begitu, bantahan keras berserta hujahan dangkal oleh etnik Cina, bukan sahaja menyedihkan sekali. Juga memperlihat kegagalan teruk proses pembentukan negara bangsa pada aspek tertentu.
Menyedihkan kerana ia rata-ratanya menunjukkan mentaliti pendatang masih kuat pada etnik Cina meskipun sudah lama bermastautin di bumi Melayu-Islam ini. Ini jelas kelihatan pada hujahan mereka yang memang mencerminkan golongan ini yang secara fizikalnya bukan pendatang lagi, tetapi terus berfikiran seperti orang asing, yakni yang tidak pun berupa warganegara Malaysia.
Hujahan bahawa Malaysia sebuah negara majmuk, justeru perlu memanifestasikan kepelbagaian secara sama banyak. Antaranya dengan membenarkan bahasa Mandarin digunakan bersendirian pada papan niaga. Ia bukan sahaja meleset, juga memperlihat sikap rakus yang sesekali tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan, iaitu perundangan tertinggi negara.
Sebenarnya perundangan iklan itu sangat cakna lagi prihatin tentang kepelbagiaan bahasa di negara ini. Bahasa lain sama sekali tidak dilarang penggunaannya dengan syarat wajib pada ketetapan tertentu diiringi oleh bahasa Melayu selaku bahasa negara.
Inilah cara kepelbagaian diraikan di negara ini, iaitu bersekali dengan bahasa Melayu oleh yang lain-lain. Hujahan bahawa kita mengamalkan multikulturalisme adalah salah sama sekali.
Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) yang secara terbuka mengakui meneruskan semangat Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK) 1971, sebagai rujukan asasnya, tetap berprinsip bahawa budaya Melayu dan agama Islam terus mengawal ranah budaya nasional di Malaysia.
Oleh itu, multikulturalisme yang mahu juga disandarkan itu hendaklah berupa kewujudan bersama-sama budaya lain di bumi Melayu-Islam, dengan kedudukan subordinat kepada budaya Melayu dan agama Islam. Dengan ini, ia tidak boleh sesekali bersifat sama rata, iaitu sama banyak seperti yang diingini etnik Cina.
Sewajarnya semua ini bukan sahaja telah difahami, juga dilaksana tanpa apa-apa bantahan oleh etnik Cina. Ini kerana ia sudah dipersetuju pada Perjanjian Etnik 1955 antara Melayu, Cina dan India di Semenanjung Malaysia, yang secara popularnya lebih dikenali sebagai Kontrak Sosial.
Sebenarnya bantahan daripada etnik Cina bukan sahaja memperlihat kejahilan mereka. Ia juga menunjukkan kesetiaan mereka yang boleh dipersoal, malah dipertikai akan keterikatan ikhlas mereka kepada negara ini yang ikut diakui sebagai tanah air. Ini kerana terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Dalam hal ini, bantahan dan hujahan etnik Cina telah menyinggung perasaan etnik Melayu selaku tuan milik tempat ini.
Antaranya bahawa tindakan terhadap etnik Cina bersifat perkauman kerana fakta sebenarnya telah diputar belit. Sehubungan ini, fakta sebenarnya kekal benar, iaitu ia tindakan perundangan semata-mata walaupun secara kebetulannya pihak penguasa rata-ratanya terdiri daripada etnik Melayu. Manakala peniaga terbabit kesemuanya adalah daripada etnik Cina.
Hujahan bahawa perlu ada kekecualian dalam mengurus tadbir bandar raya seperti Kuala Lumpur kerana didominasi etnik Cina. Dalam hal ini, ia tidak patut ada apa-apa yang berkecuali pun kerana negara ini adalah bumi Melayu-Islam.
Oleh itu, ia wajib memartabatkan bahasa Melayu secara nasional, walaupun di kawasan yang kependudukan Cinanya amat tinggi.
Kos tinggi yang perlu ditanggung peniaga terbabit susulan penguatkuasaan itu adalah tidak berasas. Ini kerana papan niaga berkenaan pertama-tamanya tidak mematuhi pelbagai perkara pada perundangan kecil iklan itu.
Oleh itu, ia sebagai alasan bukan sahaja memperlihat kebebalan, juga sikap rakus yang mahu untung pada setiap waktu.
Tindakan penguasaan itu tidak sesekali bersifat zalim melainkan ketegasan yang seharusnya dipuji. Juga ia tidak sesekali keterbelakangan, iaitu mundur apabila didakwa bahasa Mandarin yang hebat diperlekeh sedemikian rupa.
Sehubungan ini, tidak dinafikan ia bahasa hebat di pentas dunia, tetapi di Malaysia sekadar vernakular Cina sahaja. Justeru tidak sesekali layak untuk wujud bersendirian di ranah nasional, sama ada di bandaraya mahupun di pedalaman.
BERTIMBANG RASA
Semua ini sepatutnya sudah lama difahami etnik Cina jika mereka sama-sama menjiwai semangat watan Melayu-Islam atas dasar mereka sendiri yang mahu tinggal di bumi Melayu-Islam. Malangnya mereka tidak walaupun hak dan kepentingan mereka bukan sahaja terus, juga tetap dipelihara dengan baik.
Malah dijamin pula oleh Ketua Negara seperti yang termaktub pada Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.
Oleh itu, jadilah kelompok yang bertimbang rasa atas dasar kolektivisme dengan memberi perhatian kepada pandangan, kehendak dan matlamat kumpulan terbanyak, lebih-lebih lagi daripada etnik Melayu. Ini penting kerana budaya ketimuran ini adalah paksi pola budaya kita. Ia melambangkan bukan sahaja kerjasama erat sesama kita. Ia juga merupakan komitmen bersama oleh semua, khususnya daripada etnik Cina.
Dengan ini, janganlah sesekali bersifat individualistik, yakni berdasarkan nafsu sahaja, dengan menghujahkan ibu negara Malaysia itu harus terbuka sifatnya kerana ia ikut memiliki budaya lain.
Walaupun demikian, sebagai ibu negara bumi Melayu-Islam, Kuala Lumpur wajib selalu mempamer, menjaga identiti nasional dan budaya bagi rakyat Malaysia di setiap satu penjurunya.-UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).
Ulasan
Catat Ulasan