
Langkah efektif cegah pelanggaran hukum Islam
December 27, 2024
KOTA BHARU: Hukuman sebat syariah secara terbuka yang dilaksanakan di masjid di Terengganu terhadap pesalah khalwat berulang dilihat sebagai langkah mendidik masyarakat secara lebih serius dan berkesan.
Langkah ini berbeza daripada amalan sebelumnya di mana hukuman sebatan syariah dijalankan secara tertutup di penjara dengan kehadiran warden sahaja.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri, Ustaz Mohd Asri Mat Daud mengulas kaedah secara terbuka melibatkan kehadiran maksimum 70 saksi itu.
Menurut beliau, kaedah seperti yang diamalkan di Terengganu adalah mengikut tatacara syariah menepati ruh hukuman syariah tanpa bercanggah dengan mana-mana peruntukan undang-undang.
Kerajaan Negeri Kelantan katanya, turut merakamkan ucapan tahniah kepada Terengganu atas keberanian melaksanakan hukuman yang lebih mendidik dan selaras dengan piawaian hukum Islam.
“Semua pihak tidak seharusnya membuat naratif mengelirukan atau mempolitikkan isu ini, memandangkan prosedur yang dilaksanakan sepenuhnya mengikut SOP Syariah,” kata pada kenyataan hari ini.
Menurut beliau, Kelantan juga telah bersedia untuk melaksanakan hukuman sebatan secara terbuka menerusi Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 (Pindaan 2017), namun pelaksanaannya akan dibuat berdasarkan SOP yang terbaik.
“Semangat pelaksanaan ini insya-Allah akan turut diusahakan di Kelantan bagi mendidik masyarakat dan menegakkan keadilan syariah,” tambah beliau.
Tambahnya, hukuman sebatan secara terbuka diharap dapat menjadi langkah efektif untuk mendidik masyarakat dan mencegah pelanggaran hukum Islam dalam jangka masa panjang. – HARAKAHDAILY 27/12/2024
Ulasan
Catat Ulasan