Laporan polis seluruh negara terhadap Hannah



Laporan polis seluruh negara terhadap Hannah
December 29, 2024

PADA hari ini, 29 Disember 2024, Srikandi BERSATU Malaysia telah membuat laporan polis secara serentak di setiap negeri di seluruh negara pada jam 10 pagi. Laporan ini berkait dengan pendedahan yang viral di media sosial berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 23 Disember 2024 yang menolak saman fitnah Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, terhadap mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, atas kenyataan di dalam satu forum yang berlangsung di Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 30 Januari 2020.

Kes ini besar implikasinya kerana kenyataan yang dipertikaikan adalah bahawa Hannah Yeoh menulis bukunya, ‘Becoming Hannah’, dengan tujuan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Kristian, mempunyai hubungan dengan evangelis dan Yahudi untuk merosakkan Islam dan Malaysia, serta meletakkan kepentingan peribadi di atas kepentingan negara.

Hal ini tidak boleh dipandang ringan kerana Hakim Arziah Mohamed Apandi sendiri dalam penghakiman beliau telah memutuskan bahawa ‘Bukti menunjukkan pengakuan oleh Hannah Yeoh bahawa beliau menyampaikan ajaran Kristian secara halus di Malaysia, kembali sebagai ‘duta Tuhan’, ingin berdakwah melalui karier politiknya, dan bahawa bukunya ditujukan untuk semua orang, bukan hanya kepada penganut Kristian’.

Pendedahan ini, sebagaimana dinyatakan dalam muka surat tertentu buku tersebut, dan yang diterima pakai oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, memberi gambaran jelas mengenai agenda Kristianisasi yang boleh menjejaskan keharmonian negara serta melanggar Perlembagaan Persekutuan, di mana Islam adalah agama Persekutuan. Oleh itu, keputusan mahkamah ini, seperti dimaklumkan oleh firma guaman Azam Aziz & Co, menguatkan kebimbangan kami terhadap ancaman gerakan evangelis yang melibatkan unsur Zionis dan Yahudi untuk mengubah status Malaysia sebagai negara Islam.

Sebagai umat Islam dan rakyat Malaysia yang cintakan keamanan serta keharmonian, kami merasa terancam dengan tindakan Hannah Yeoh yang berpotensi menjejaskan masa depan umat Islam, khususnya golongan belia yang berada di bawah portfolio kementerian beliau. Tindakan ini juga mencabar kedaulatan Raja-raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam di negara ini.

Ruang tidak seharusnya dibuka kepada mana-mana pihak untuk melanggar undang-undang dengan melakukan kerja pendakyahan agama bukan Islam kepada orang Islam, apa lagi dengan menggunakan dana awam Persekutuan. Kami yakin, jika tidak mendapat bantahan meluas pelbagai pihak, kerja ‘dakwah’ ini sudah berjaya diteruskan dengan aktiviti seperti Jom Ziarah Gereja, sebuah aktiviti yang terbuka kepada belia-belia bukan Kristian seperti yang diiklankan.

Sehubungan itu, Srikandi BERSATU Malaysia menggesa:

1. Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk segera menjalankan siasatan menyeluruh terhadap tindakan dan agenda Hannah Yeoh.

2. Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk segera mengharamkan buku ‘Becoming Hannah’.

3. Perdana Menteri Malaysia untuk segera memecat Hannah Yeoh daripada Kabinet atas tindakan yang melanggar prinsip tata kelola kerajaan Madani.

Srikandi BERSATU Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang usaha yang mengancam keharmonian dan kestabilan negara. Sekiranya gesaan kami ini tidak mendapat maklum balas, kami akan melakukan tindakan selanjutnya demi mempertahankan kesucian Islam, kedaulatan Raja-raja Melayu, dan masa depan belia Islam di negara ini.

DATO’ NOLEE ASHILIN DATO MOHAMMED RADZI
Naib Ketua Srikandi Bersatu Malaysia – HARAKAHDAILY 29/12/2024

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

Ulasan