Libat perlembagaan, bukan peribadi
AISYAH BASARUDDIN - 15 Disember 2024
SHAH ALAM - Pertikaian tentang kredibiliti Tun Md Raus Sharif selaku Pengerusi Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan bukan bersifat peribadi, sebaliknya ia melibatkan isu perlembagaan.
Peguam kanan, Haniff Khatri Abdulla berkata, ini kerana bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pernah memfailkan saman dan mempersoalkan pelantikan semula Md Raus sebagai Ketua Hakim Negara untuk tiga tahun pada penghujung 2017.
Menurut beliau, jika diteliti di bawah konteks perlembagaan, ia dikhuatiri bakal memberi kesan kepada Md Raus dalam membuat penilaian berkaitan RCI Batu Puteh.
“Md Raus lebih kepada isu perlembagaan bukannya peribadi. Bagus atau tidak bukan isunya, tetapi memandangkan Dr Mahathir pernah failkan saman dan mempersoalkan pelantikan semula, ia dikhuatiri beri kesan dalam membuat penilaian.
“Kalau RCI (ditubuhkan) untuk membantu membaik pulih sistem tadbir urus berkaitan kedaulatan negara, itu cerita lain. Namun, apabila pada masa sama kemuka syor untuk ambil tindakan jenayah ke atas Dr Mahathir, adakah wajar?
“Adakah saranan RCI dipengerusikan Md Raus dalam keadaan beliau pernah disaman Dr Mahathir dianggap satu keputusan yang boleh diterima pakai,“ katanya kepada Sinar Ahad.
Sebelum ini, Dr Mahathir dilaporkan mempersoalkan kredibiliti tiga pesuruhjaya RCI termasuk Md Raus kerana tindakan sivil terhadapnya pernah dibuat sebelum beliau menjadi Perdana Menteri ke-7.
Haniff Khatri turut berpandangan, peguam, Datuk Dr Baljit Singh Sidhu dan Pegawai Kewangan Negeri Johor, Datuk Mohammed Ridha Abd Kadir juga tidak wajar dilibatkan sebagai ahli Pasukan Petugas Khas bagi Pulau Batu Puteh kerana kedua-duanya mempunyai konflik kepentingan.
Ujarnya, Baljit dan Mohammed Ridha antara ahli yang membuat penilaian awal, malah tidak boleh duduk semula atau terlibat dalam RCI.
“Macam mana mereka nak sanggah penemuan awalan jika mereka pun ada keterangan atau maklumat berbeza yang diperoleh dalam RCI?
“Justeru, berdasarkan konsep itulah Dr Mahathir membuat bantahan berkaitan dua individu ini sebab mereka yang menganggotai pasukan petugas khas tidak wajar dilantik demi konsep undang-undang asasi,“ ulas beliau.
Haniff Khatri turut menambah, keputusan Dr Mahathir untuk menarik balik siasatan berkaitan Pulau Batu Puteh didapati oleh RCI kononnya telah dibuat dua hari sebelum mesyuarat Kabinet, maka tidak sepatutnya timbul isu tipu Kabinet seperti yang disyorkan.
“Keputusan kononnya didapati RCI dibuat pada 21 Mei 2018, dua hari sebelum mesyuarat Kabinet (23 Mei 2018). Jadi, dari mana munculnya isu tipu Kabinet buat keputusan?
“Tidak masuk akal dan saya amat terkejut sebab ia dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara. Sebab itulah seorang lagi bekas hakim Mahkamah Persekutuan tidak boleh setuju dengan saranan siasatan jenayah terhadap Dr Mahathir.
“Soalan saya, kenapa saranan RCI cuma kepada beliau? Mengapa tidak disarankan kepada bekas Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali dan lain-lain juga sedangkan RCI dapati kesemua yang berkaitan semasa semakan difailkan sampailah ditarik balik tidak melaksanakan tugas serta tanggungjawab dengan baik. Bukankah itu menzahirkan rumusan berat sebelah?” soal beliau

Ulasan
Catat Ulasan