Libatkan wakil rakyat salur bantuan mangsa banjir
December 3, 2024
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, menyarankan agar semua pihak yang ingin menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir di Kelantan, Terengganu dan Kedah berhubung terus dengan wakil rakyat di kawasan terlibat.
Menurutnya, wakil rakyat sama ada ahli parlimen mahupun ADUN lebih memahami keperluan semasa dan keadaan di lapangan.
“Kadang-kadang kita nak bagi bantuan baguslah nak dapat mileage dan sebagainya tapi kita bagi benda yang terlebih banyak macam makanan. Jadi membazir, buang begitu saja kadang-kadang.
“Jadi saya harap mana-mana pihak termasuklah kerajaan sendiri pun tolonglah berhubung kami Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional. Suka atau tidak kami menguasai ketiga-tiga kawasan negeri ini yang dilanda banjir.
“Kalau kami tidak dilibatkan secara langsung saya fikir kita akan membazir banyak sumber yang boleh digunakan untuk membantu rakyat yang terkesan,” katanya ketika sidang media di lobi Parlimen, di sini, hari ini. (Foto atas)
Fayhsal turut menyampaikan penghargaan kepada kerajaan pusat, kerajaan negeri, NGO, NGI dan individu seperti Khairul Aming yang banyak membantu mangsa banjir.
“Saya bersama rakan-rakan ahli parlimen Perikatan Nasional ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak daripada kerajaan pusat kerajaan negeri serta pihak-pihak NGO, NGI seperti Khairul Amin dan sebagainya yang telah banyak membantu mangsa banjir khususnya di Kelantan, Terengganu dan Kedah,” katanya.
Beliau turut menyatakan beberapa pandangan kepada pihak kerajaan agar persiapan untuk berdepan dengan gelombang kedua dan ketiga akan dibuat dengan lebih baik dan tersusun.
“Pertamanya kalau kita lihat apa yang berlaku di pantai timur khususnya banyak sumber-sumber bantuan yang diberikan dari segi makanan, setelah saya meninjau di kesemua PPS di Machang dan di kawasan-kawasan lain amat-amat mencukupi. Soal makan alhamdulillah saya ucapkan tahniah dan syabas kepada JKM kerana menyediakan makanan yang secukupnya dan juga kepada NGO yang tak kurang memberi bantuan.
“Jadi bagi saya keperluan utama bagi mangsa banjir di kawasan-kawasan ini disebabkan kadar kerosakan yang berlaku amat teruk berbanding tahun lalu. Malah mungkin antara terburuk sejak 10 tahun yang lalu.
“Saya fikir antara keperluan utama kalau ada mana-mana pihak seperti pihak kerajaan, JKM, NGO dan NGI ingin membantu antara keperluan asas yang saya nampak perlu dibawa ialah seperti toto, bantal, tikar, Pampers pakai buang orang tua, anak-anak, tuala wanita. Ini semua sangat kekurangan,” katanya.
Beliau turut merayu kepada Perdana Menteri agar peruntukan kewangan dari ICU disalurkan terus kepada ahli parlimen yang terlibat.
“Kami juga menuntut jasa baik, belas ihsan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan selaku orang yang berpegang kepada falsafah Malaysia madani di musim banjir yang amat-amatlah membebankan ini tolonglah sampaikan bantuan kewangan peruntukan ICU terus kepada wakil rakyat ahli parlimen ahli parlimen yang berdepan dengan banjir yang teruk.
“Lihat di Pasir Mas, Tumpat, Rantau Panjang tenggelam habis belaka. Total loss di banyak tempat. Rumah rosak dan sebagainya. Kalau kita tak beri bantuan kepada ahli parlimen, banyak perkara-perkara yang boleh diselesaikan dalam masa seminggu akan berlarutan sebulan. Kerana apa? Kerenah birokrasi.
“Sebab itulah kita ada wakil rakyat. Wakil rakyat inilah pemudah cara untuk kita bantu rakyat di bawah. Wakil rakyat dikesampingkan macam mana kita nak bantu rakyat yang terkesan? Kerajaan juga dapat nama buruk nanti. Jadi kita tidak mahu berpolitik. Kita mahu keadilan buat rakyat dan semua yang terkesan akibat banjir,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/11/2024
Ulasan
Catat Ulasan