Mampukah Malaysia menjadi sebuah hab teknologi global?


KEMENTERIAN Sains, Teknologi, dan Inovasi (MOSTI) telah mengambil langkah strategik untuk menjadikan Malaysia sebagai hab teknologi global selaras dengan visi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Oleh Mohammad Yusof Apdal
23 Disember 2024, 7:45 am

KURANG dua minggu lagi, kita akan menyambut tahun 2025, yang juga menandakan tahun ketiga pentadbiran kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tahun ketiga pentadbiran adalah fasa kritikal di mana rakyat dan pihak berkepentingan mula menilai hasil dasar dan inisiatif kerajaan. Ia juga masa untuk mempercepatkan momentum pembaharuan, dan jika berlaku kelewatan, kerajaan perlu menyesuaikan strategi segera bagi mencapai matlamat sebelum mandat berakhir.

Menyahut cabaran ini, Kementerian Sains, Teknologi, dan Inovasi (MOSTI) telah mengambil langkah strategik untuk menjadikan Malaysia sebagai hab teknologi global, selaras dengan visi Perdana Menteri.

MOSTI berusaha untuk menjadikan Sains, Teknologi, dan Inovasi (STI) bukan hanya sebagai pemangkin ekonomi, tetapi juga sebagai alat utama untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat dan pemacu transformasi negara secara menyeluruh.

Pendekatan ini bertujuan mewujudkan pembangunan yang inklusif dan mampan, serta memastikan bahawa kemajuan teknologi memberi manfaat kepada seluruh lapisan masyarakat, terutamanya dalam meningkatkan kualiti hidup rakyat Malaysia.

Sepanjang dua tahun, MOSTI telah mencatatkan pelbagai kejayaan signifikan yang memberi impak besar kepada pembangunan negara, terutamanya dalam bidang STI. Kejayaan-kejayaan ini selaras dengan matlamat kerajaan Malaysia Madani untuk menjadikan STI sebagai pemacu utama dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat serta memajukan ekonomi negara secara mampan dan inklusif.

Antara pencapaian utama MOSTI adalah lonjakan Malaysia ke tangga ke-33 dalam Indeks Inovasi Global (GII) 2024, yang merupakan kedudukan tertinggi sejak 2016. Selain itu, GII turut menyenaraikan Kuala Lumpur di tempat ke-93 dalam Senarai 100 Terbaik Kluster Sains dan Teknologi Dunia.

Untuk memperkukuh lagi kedudukan tersebut, MOSTI sedang membangunkan Indeks Inovasi Malaysia (MII) yang bertujuan untuk menghasilkan profil ekosistem inovasi di setiap negeri. Inisiatif ini adalah langkah penting dalam memperkukuhkan ekosistem inovasi negara secara menyeluruh, sambil memberikan gambaran jelas mengenai prestasi negeri-negeri dan impaknya terhadap kedudukan Malaysia dalam Indeks Inovasi Global (GII) pada masa hadapan.

Selain itu, MOSTI turut memperkenalkan Pelan Hala Tuju Penyelidikan, Pembangunan, Inovasi, Pengkomersialan, dan Ekonomi Negara (RDICE), yang dirancang untuk menyumbang sebanyak RM9.21 trilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara menjelang 2030. Inisiatif ini bertujuan untuk memperkasa sektor penyelidikan dan inovasi, sekaligus memperkukuhkan asas ekonomi negara dalam menghadapi cabaran global.

Platform seperti NTIS, CSA, MYHackathon, dan MCY Summit telah memainkan peranan penting dalam mempercepatkan pengkomersialan penyelidikan dan inovasi di bawah inisiatif RDICE. Melalui gabungan platform ini, sokongan menyeluruh disediakan, termasuk ruang ujian, akses maklumat, peluang kolaborasi, serta rangkaian pasaran dan pelabur.

Dalam bidang bioteknologi, MOSTI telah berjaya menyokong lebih 520 syarikat melalui program seperti Bio-based Accelerator dan inisiatif BioNexus. Antara kejayaan terbesar adalah apabila ALPS Global Holding Bhd diiktiraf sebagai syarikat bioteknologi pertama di negara ini yang mencapai status unicorn. Selain itu, sasaran pelaburan baharu dalam sektor bioteknologi turut melangkaui RM1 bilion, sekali gus memperkukuhkan sektor ini sebagai pemacu utama ekonomi masa depan Malaysia.

MOSTI juga memperkenalkan Kod Tadbir Urus dan Etika AI (AIGE) sebagai panduan bagi industri untuk memastikan pembangunan AI yang beretika dan bertanggungjawab.

Kod ini menekankan prinsip kebertanggungjawaban dan ketelusan, memastikan teknologi AI memberi manfaat kepada masyarakat dengan mematuhi standard moral dan sosial yang tinggi, serta memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap penggunaannya.

MOSTI turut meningkatkan kesejahteraan rakyat melalui program inovasi seperti Projek MyGenom, yang menggunakan teknologi genetik untuk menyediakan data genom rakyat sebagai asas rawatan perubatan tepat (precision medicine). Dalam sektor pertanian, benih padi NMR152 yang dibangunkan dengan teknologi nuklear berjaya meningkatkan hasil pengeluaran padi tempatan dan mengurangkan kebergantungan terhadap import makanan.

Di peringkat komuniti, inisiatif Kampung Angkat Madani telah membawa teknologi pintar seperti tenaga boleh diperbaharui dan sistem pertanian moden ke luar bandar, menyelesaikan masalah setempat dan meningkatkan kualiti hidup penduduk. Pendekatan ini memberi peluang kepada mereka untuk menikmati kehidupan yang lebih selesa, berdaya saing, dan berdaya tahan, seterusnya menjadikan kawasan luar bandar lebih mampan dan sejahtera.

MOSTI juga aktif membudayakan STI dalam kalangan generasi muda melalui program seperti Minggu Sains Negara dan Malaysia Techlympics bagi membina masyarakat yang celik teknologi dan inovasi, selaras dengan aspirasi Malaysia untuk menjadi negara berteknologi tinggi.

Walaupun pencapaian MOSTI amat membanggakan, ia masih berhadapan dengan cabaran, terutamanya kekurangan tenaga mahir dalam bidang STI yang menghalang daya saing Malaysia di peringkat global. Sehubungan itu, MOSTI giat memperkukuhkan pendidikan STEM melalui kerjasama erat Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi bagi memastikan penghasilan bakat berkualiti dalam bidang ini.

Selain itu, masalah kekurangan penyelarasan antara agensi dalam tadbir urus STI telah menyebabkan pertindihan tugas dan pembaziran sumber. Bagi mengatasi isu ini, MOSTI sedang merangka kerangka tadbir urus STI yang lebih inklusif untuk memperkukuh kerjasama antara pemegang taruh, sekali gus meningkatkan keberkesanan dan efisiensi dalam pelaksanaan dasar STI.

Penglibatan sektor industri dalam R&D masih rendah, ramai syarikat tidak melihat STI sebagai peluang pelaburan. Bagi mengatasi hal ini, MOSTI telah memperkenalkan insentif kewangan dan program galakan untuk merangsang kolaborasi antara industri dan akademik, serta mempercepatkan pengkomersialan hasil penyelidikan demi memanfaatkan potensi STI sebagai pemacu ekonomi.

Halangan infrastruktur dan akses teknologi, terutamanya di kawasan luar bandar, merupakan cabaran besar yang perlu diatasi. Namun, melalui inisiatif seperti Kampung Angkat Madani, MOSTI telah berjaya menunjukkan bagaimana aplikasi STI dapat merapatkan jurang teknologi antara kawasan bandar dan luar bandar, sekaligus memperkasakan masyarakat luar bandar dengan kemudahan teknologi yang lebih baik.

Kejayaan yang dicapai sepanjang dua tahun ini membuktikan bahawa gabungan dasar yang strategik, inovasi yang berimpak tinggi, dan kerjasama pelbagai pihak mampu membawa Malaysia lebih jauh.

Melangkah ke tahun baharu 2025, MOSTI komited untuk terus memperkasa STI sebagai tonggak pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat yang inklusif, demi menjadikan aspirasi Malaysia sebagai hab teknologi global satu realiti. – UTUSAN

DATUK Mohammad Yusof Apdal ialah Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Ulasan