Merempat di tanah sendiri?
KINI lambakan hartanah disajikan pula untuk dijadikan kediaman persaraan warga asing.
Oleh Fatihah Jamhari
27 Disember 2024, 8:00 am
MEMANG ada manusia kosmopolitan yang mencintai seluruh dunia, merasa dirinya tidak terikat pada satu batas negara. Namun orang demikian tidaklah mempunyai bumi tempat tegak.
Kesudahannya ia akan memilih tempat juga. Di dalam suku, kita membentengi bangsa, di dalam pergaulan dunia, kita membentengi peri kemanusiaan sedunia.’ – Buya Hamka.
Rang Undang-Undang (RUU) Sewaan Kediaman telah mula diperkatakan sejak 2021 lagi. Tambahan pula, tahun lalu Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dengan yakin memberikan komitmen bahawa RUU Sewaan Kediaman akan dibentangkan di Parlimen dalam tahun 2024.
Malangnya setelah tiga tahun menunggu, masih tiada gambaran jelas mengenai kemajuan proses pendrafan RUU berkenaan. Pada bulan April lalu, Pertubuhan Sewaan Kediaman Kebangsaan sekali lagi menggesa kerajaan untuk menzahirkan janji yang telah ditabur.
Hasilnya masih samar dan kabur. Seakan-akan dambaan rakyat jatuh ke telinga yang tuli. Lebih menyedihkan lagi pada bulan Jun lalu, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) pula mengumumkan kelonggaran syarat permohonan program Malaysia Rumah Kedua Ku (MM2H).
Program yang dikenali sebagai MM2H 3.0 ini meletakkan syarat pemilikan hartanah bagi warga asing kepada tiga kategori utama berdasarkan keperluan simpanan tetap, deposit sebanyak AS$1,000,000 bagi program Platinum, deposit sebanyak AS$500,000 bagi program Emas dan deposit sebanyak AS$150,000 bagi program Perak.
Sebelum ini, semua peserta dikehendaki mempunyai simpanan tetap minimum berjumlah RM1,000,000, dan pendapatan bulanan RM40,000 daripada sumber luar. Namun, penyelarasan semula program ini jelas menyasarkan pesara luar apabila syarat pendapatan bulanan dimansuhkan.
Semuanya dilakukan kerana mengambil kira bahawa dari tahun 2002 hingga 2019, MM2H telah menarik 48,471 pesara dan tanggungan mereka dan membawa hasil anggaran RM58 bilion melalui pelaburan hartanah, perbelanjaan perubatan dan pendidikan.
Maka tidak pelik apabila sejak akhir-akhir ini semakin ramai warga asing, khususnya dari Eropah, yang mewar-warkan Malaysia sebagai pusat persaraan mereka. Malah, di laman media sosial seperti TikTok dan X, wujud golongan pempengaruh yang menjemput warga negara asing untuk memilih Malaysia sebagai lokasi pilihan untuk kediaman mereka dengan sajian kos sara hidup yang dilihat murah berbanding negara asal mereka.
Salah satu ciapan di X yang menarik perhatian ramai netizen adalah kandungan yang dimuat naik oleh seorang warganegara Portugal yang menekankan, antara lain, lanjutan pengecualian cukai pendapatan individu ke atas pendapatan sumber asing. Inisiatif yang diperkenalkan sejak 1 Januari 2022 kini akan diteruskan sehingga 31 Disember 2036.
Inisiatif ini kononnya adalah sebahagian daripada strategi komprehensif kerajaan bagi tujuan untuk meringankan beban kewangan warga asing yang mendapat sumber pendapatan dari negara luar, lantas menarik minat warga asing untuk memilih Malaysia sebagai negara kediaman mereka. Sudah tentu bagi warga asing, khususnya golongan yang digelar sebagai nomad digital, yang meraih pendapatan dari negara asal melihat inisiatif ini sebagai tawaran dan jemputan yang menggiurkan.
Namun, apa natijah sebenar kepada warga negara Malaysia? Amat membimbangkan apabila bukan sahaja kerajaan berterusan gagal menggubal undang-undang yang memelihara kepentingan rakyat Malaysia tetapi dengan inisiatif-inisiatif sebegini, dilihat seolah-olah kerajaan berbangga menggarap dasar yang menguntungkan warga asing melebihi kepentingan anak Malaysia sendiri.
Sudahlah rakyat dihimpit bebanan kewangan yang semakin meruncing sehinggakan ramai yang tidak layak membeli rumah kediaman mereka sendiri. Kerajaan pula tidak melihat kemustahakan untuk menggubal RUU Sewaan Kediaman, dan kini lambakan hartanah disajikan pula untuk dijadikan kediaman persaraan warga asing.
Tanpa kita sedari, proses gentrifikasi yang perlahan dan berterusan akhirnya akan memaksa warganegara Malaysia untuk berpindah dari kawasan bandar ke kawasan pinggiran. Inilah yang telah berlaku kepada banyak kampung-kampung Melayu di bandar besar seperti Kuala Lumpur, Georgetown dan Johor Bahru.
Fenomena gentrifikasi sering terjadi di banyak tempat, di mana berlaku proses overtourism sehinggakan warga asal tidak lagi mampu untuk meneruskan kehidupan mereka di tanah tumpah darah mereka sendiri. Contohnya di Bali, Indonesia bukan sahaja pasaran hartanah melonjak berlipat kali ganda sehingga menjadikan pemilikan kediaman oleh warga asal hampir mustahil, tetapi pada tahun lalu, polis Bali turut mengancam untuk mengambil tindakan terhadap warga tempatan yang menyebarkan video insiden pelancong membuat onar di Bali.
Adakah Malaysia akan menerima nasib serupa dengan di Bali hanya atas dasar kepentingan kewangan negara? Adakah kita sudah cukup bebal untuk digula-gulakan dengan statistik keuntungan yang diperolehi negara daripada dasar pintu terbuka buat warga asing? Sampai bila rakyat
Malaysia harus berlapang dada apabila dasar kerajaan seperti laki pulang kelaparan, dagang lalu ditanakkan? Bila kerajaan akan gubal RUU Sewaan Kediaman agar ada perlindungan untuk penyewa tempatan? – UTUSAN
PENULIS ialah pengamal undang-undang, Naib Presiden II Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ), dan Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).
Ulasan
Catat Ulasan