
Mulakan hebahan Akta Tahanan Rumah elak masyarakat rasa curiga
Oleh Suzalina Halid - Disember 2, 2024 @ 12:52pm
AKHIR-AKHIR ini, sama ada ketika membelek akhbar ataupun melayari portal berita, paparan berita mengenai Akta Tahanan Rumah terus hangat dilaporkan selepas ia diumumkan melalui pembentangan Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Malah, kesempatan membuat liputan di Dewan Rakyat sepanjang bulan lalu membuatkan penulis 'naik hafal' berhubung maklumat mengenai Akta Tahanan Rumah apabila perkara itu ditekankan melalui sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Kita maklum undang-undang itu bukan baharu di negara luar, malah turut dilaksanakan negara jiran, Singapura, selain Australia dan New Zealand.
Pelaksanaan undang-undang itu kelak juga menggambarkan negara bersedia menuju ke arah penggunaan teknologi tinggi apabila tahanan reman menjalani hukuman di rumah akan dipasang peranti pengesan.
Sering juga diulang berkali-kali oleh menteri bertanggungjawab bahawa jika direalisasikan kelak undang-undang ini, ia dapat mengelakkan kesesakan di penjara kini menempatkan 87,229 prospek, termasuk 28,000 individu ditahan reman walaupun penjara hanya mampu memuatkan 74,000 orang.
Malah, ia turut mendapatkan maklum balas positif Jabatan Penjara Malaysia menyifatkan fasiliti penjara di seluruh negara, mengalami kadar pertambahan prospek melebihi 11.24 peratus berbanding kapasiti sebenar.
Jaminan diberikan kerajaan bahawa pelaksanaan Akta Tahanan Rumah tidak terpakai untuk individu ditahan reman kerana kesalahan jenayah serius memperuntukkan hukuman mati dan penjara seumur hidup.
Begitu juga tahanan reman didakwa di bawah kesalahan serius membawa pemenjaraan 10 tahun ke atas, keganasan rumah tangga dan kanak-kanak, sebatan mandatori, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) dan Bab 6 Kanun Keseksaan.
Jaminan itu nampak meyakinkan, namun dalam persediaan negara untuk melaksanakan aspek perundangan itu, antara elemen penting untuk ditekankan adalah memastikan masyarakat tidak berasa 'terancam' dengan dasar baharu berkenaan.
Walaupun pembentangan RUU itu dijadual hanya dibuat tahun hadapan, usaha pemakluman kepada masyarakat dan komuniti sudah boleh dimulakan dari sekarang.
Sebagai seorang individu biasa, tidak boleh dinafikan pastinya akan terbit perasaan was-was atau bimbang jika ada tahanan reman di kawasan kediaman mereka, walaupun ia bukan membabitkan jenayah berat.
Aspek ini tidak boleh dipandang enteng, kerana ia turut boleh memberi kesan sosial dan psikologi kepada kerukunan sesuatu kawasan kediaman.
Perlu ada mekanisme tertentu
Menyokong idea itu, pakar kriminologi bebas, Datuk Shahul Hamid Abd Rahim, menegaskan perlu ada mekanisme tertentu bagi proses penerangan kepada masyarakat.
Beliau mengingatkan proses itu penting bagi meyakinkan mereka bahawa pelaksanaan undang-undang itu boleh dilakukan tanpa mewujudkan sebarang ancaman kepada komuniti.
"Negara lain, termasuk Australia dan New Zealand sudah melaksanakannya dan ternyata tiada masalah dan Malaysia juga boleh melakukan perkara sama.
"Namun, mungkin timbul kebimbangan atau ketidakselesaan dalam kalangan masyarakat akan memandang negatif terhadap kewujudan tahanan reman ini di kawasan kediaman mereka.
"Justeru, usaha meyakinkan mereka perlu dilakukan supaya mereka tidak terbeban atau berasa pelaksanaan undang-undang itu berisiko mendatangkan bahaya buat masyarakat," katanya.
Beliau menegaskan peluang harus diberikan kepada penggubal undang-undang untuk meluluskan RUU terbabit sebelum pelaksanaan peraturan itu boleh dilakukan.
Sementara itu, peguam, Nur Aminahtul Mardiah Md Nor, turut mahu kempen kesedaran untuk menjelaskan konsep tahanan rumah kepada masyarakat.
Beliau berkata, ramai dalam kalangan masyarakat mungkin masih tidak memahami sepenuhnya manfaat tahanan rumah dan menganggapnya sebagai alternatif diberikan untuk melonggarkan hukuman kepada pesalah berprofil tinggi.
Beliau berkata, penahanan rumah sebagai alternatif kepada tertuduh berada dalam tahanan reman adalah satu langkah penting dalam reformasi sistem keadilan jenayah Malaysia.
Walaupun ini mungkin mengundang perbincangan dan kontroversi, ia juga membuka ruang untuk memahami bahawa setiap individu dituduh bukanlah penjenayah.
Nur Aminahtul Mardiah bagaimanapun berpendapat, pelaksanaan penahanan rumah memerlukan beberapa langkah dan struktur jelas untuk memastikan ia dapat dijalankan dengan adil dan berkesan.
Katanya, pertama tertuduh layak dipertimbangkan tahanan rumah ini sudah pasti akan disaring jabatan penjara atau mahkamah berdasarkan jenis kesalahan dilakukan bagi memastikan tiada tertuduh melakukan kesalahan berat diberikan tahanan rumah.
"Tertuduh dipilih untuk menjalani penahanan rumah akan diberikan peraturan tertentu, mungkin pemakaian gelang pengawasan elektronik boleh dipertimbangkan memandangkan mereka ini tidak membayar jaminan bagi memastikan kehadiran ke mahkamah semasa perbicaraan.
"Berikutan tahanan rumah ini adalah bagi tertuduh berada dalam reman, pemerkasaan harus dibuat Kementerian Dalam Negeri (KDN) secara berperingkat untuk melihat keberkesanaan pelaksanaan Akta Tahanan Rumah dan ia tidak disalahgunakan," katanya.
Nur Aminahtul Mardiah mengakui pelaksanaan penahanan rumah bukanlah mudah kerana banyak pertimbangan perlu diambil kira pihak berkuasa, antaranya adalah jenis kesalahan dilakukan pesalah, sejarah jenayah, serta risiko kebarangkalian untuk mengulangi jenayah sedang dipertuduhkan dan dibicarakan ketika berada di luar bersama masyarakat.
Beliau berkata, atas dasar itulah Akta Tahanan Rumah diwujudkan sebagai akta berdiri sendiri dan tidak bergantung kepada mana-mana peraturan sedia ada untuk memastikan pelaksanaan berkesan dan efektif.
"Namun, kerajaan perlu memastikan pelaksanaan tahanan rumah dilakukan secara telus dan adil. Ini bermakna hanya tertuduh berisiko rendah dan mereka melalui proses saringan teliti layak menerima alternatif ini," katanya.
Penulis adalah Wartawan BH
Ulasan
Catat Ulasan