Mungkin berlaku ketidakadilan bantuan banjir kepada petani


Mungkin berlaku ketidakadilan bantuan banjir kepada petani
December 12, 2024

Datuk Idris Ahmad

KUALA LUMPUR: Keberkesanan pemberian bantuan kepada mangsa yang melibatkan para petani memerlukan kepada pemantauan yang telus supaya ia sampai kepada mereka yang benar-benar terlibat.

Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) menekankan keperluan pemantauan rapi agar bantuan sampai kepada mereka yang benar-benar terjejas.

“Apakah indikator utama yang digunakan oleh kementerian untuk membuat satu pengukuran soal keberkesan sampainya bantuan ini kepada mereka yang terbabit?

“Selain itu, adakah di sana ada saluran khas bagi petani menyampaikan maklum balas atau aduan, mungkin ada isu kelewatan dan ketidakadilan dalam pemberian bantuan ini?” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Naib Presiden PAS itu turut membangkitkan isu kehilangan 5.3 juta pek beras putih tempatan ketika banjir yang dimaklumkam oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan pada 10 Disember lalu.

“Maksudnya dalam 50 juta kilogram beras tempatan yang tenggelam dengan banjir. Jadi pasal apa waktu banjir ada pula (beras) timbul, waktu kemarau tidak ada?

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata skim bantuan kepada petani dijalankan secara teliti dan menyeru kepada petani yang menghadapi masalah dalam pengagihan bantuan supaya membuat laporan.

“Kita akan lihat kemusnahan itu dan akan dikaji oleh para pegawai, maka kementerian akan cuba cari penyelesaian terbaik. Kalau ada kebocoran di sana, sila lapor dan kita akan bertindak mengikut sistem dan keadilan yang ada,” katanya.

Dalam soalan asal, Idris meminta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan mekanisme pengagihan bantuan yang dirancang oleh pihak kementerian untuk memastikan petani yang terjejas akibat banjir benar-benar mendapat bantuan tanpa penangguhan dan bagaimana pihak kerajaan menangani isu kemungkinan ketirisan atau ketidakadilan dalam proses pemberian bantuan. – HARAKAHDAILY 12/12/2024

Ulasan