Pekerjaan sektor gig jejas pendidikan anak muda
December 10, 2024
Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz
KUALA LUMPUR: Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menggesa kerajaan mengambil langkah serius dalam menangani cabaran yang timbul daripada perkembangan sektor ekonomi gig, termasuk isu kegagalan anak muda menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Beliau berkata, sektor gig kini menjadi komponen penting dalam struktur ekonomi negara dengan membuka peluang pekerjaan baharu kepada rakyat Malaysia.
Namun, beliau bimbang kesan sampingan seperti trend anak muda memilih pekerjaan gig hingga mengabaikan pendidikan formal akan menjejaskan sasaran negara untuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi menjelang 2030.
“Apakah langkah kerajaan bagi memastikan trend ini tidak mengganggu sasaran melahirkan sumber manusia berkemahiran tinggi, dan bagaimana data pekerja gig dapat dikumpul dengan tepat memandangkan struktur sektor ini tidak direkodkan secara formal?” soalnya.
Beliau menyatakan demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawapan Lisan di Dewan Negara, hari ini.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad dalam jawapannya memberitahu, kerajaan sedang merangka sebuah akta bagi sektor gig yang akan dibentangkan pada Februari 2024, selepas melalui tujuh sesi libat urus untuk memastikan keberkesanannya.
Menurutnya, berdasarkan data Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), terdapat 1.12 juta pekerja gig yang berdaftar, dengan 146 penyedia platform, termasuk e-hailing, yang akan dilindungi oleh akta ini.
Nik Abduh dalam soalan asal meminta Menteri Sumber Manusia menyatakan perancangan jangka panjang Kementerian dalam membantu pekerja sektor Gig membina asas keselamatan sosial yang lebih kukuh, terutamanya dalam menghadapi persaraan dan keperluan perubatan sekali gus meningkatkan kesejahteraan pekerja. – HARAKAHDAILY 10/12/2024
Ulasan
Catat Ulasan