Perlis terima 2.6 juta pelancong hingga Oktober 2024

Perlis terima 2.6 juta pelancong hingga Oktober 2024
December 10, 2024


KANGAR: Tahun Melawat Perlis 2024-2025 telah mencatatkan peningkatan ketara dalam sektor pelancongan dengan kerajaan merekodkan hasil kutipan dan jumlah pelancong yang memberangsangkan sejak awal tahun.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Negeri, Abu Bakar Hamzah berkata, jumlah keseluruhan kutipan hasil daripada sektor pelancongan sehingga Oktober 2024 adalah sebanyak RM1,038,168, melibatkan pelbagai lokasi ekopelancongan di bawah seliaan Jabatan Perhutanan Negeri.

“Lokasi popular seperti Kompleks Ekopelancongan Gua Kelam, Viewpoint Wang Kelian dan Taman Eko Rimba Bukit Kubu menjadi tumpuan utama pelawat, dengan jumlah pengunjung keseluruhan di lokasi ini mencecah 522,102 orang.

“Taman Buah-Buahan Eksotik di bawah Jabatan Pertanian Negeri Perlis turut menyumbang hasil sebanyak RM48,077 sehingga November 2024,” katanya.

Sementara itu ujar Abu Bakar, Taman Agrovet, di bawah Jabatan Veterinar Negeri Perlis, mencatatkan kehadiran seramai 58,658 pelawat dengan hasil kutipan RM105,920.00 setakat Oktober 2024.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Saad Seman (PN-Chuping) pada sesi soalan lisan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, di sini hari ini.

Sementara itu katanya lagi, statistik yang dikeluarkan oleh Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Negeri Perlis menunjukkan seramai 2.6 juta pelawat telah berkunjung ke negeri ini sehingga Oktober 2024.

“Daripada jumlah tersebut, 161,374 adalah penginap hotel berbayar, di mana 156,202 adalah pelancong domestik dan 5,172 adalah pelancong antarabangsa.

“Tempat-tempat yang menjadi tarikan utama pelancong termasuk Viewpoint Wang Kelian, Arked Niaga Padang Besar, Pulau Ketam Kuala Perlis, Kampung Warna-Warni, Santuari Ikan Air Tawar, Tasik Timah Tasoh, serta lokasi perkelahan di sekitar negeri ini,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 10/12/2024

Ulasan