PLSB Sungai Golok dikaji semula elak banjir besar


PLSB Sungai Golok dikaji semula elak banjir besar
December 11, 2024

KOTA BHARU: Kerajaan negeri mencadangkan agar Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok dikaji semula bagi pembinaan lebih teratur dan strategik.

Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, ia bagi memastikan penduduk di kawasan itu tidak ditenggelami air banjir saban tahun.

Selain itu, beliau turut meminta pandangan dan idea penduduk tempatan sebagai pemegang taruh yang kerajaan negeri perlu diambil kira dalam setiap perancangan terbabit.

“Sebagai langkah penyelesaian signifikan, cadangan pembinaan bypass mengalirkan air ke Sungai Mengkuang atau Pengkalan Nangka bagi mengelakan risiko banjir besar.

“Cadangan ini perlu dinilai dan diteliti selain reka bentuk projek dikaji semula dengan mengambil kira standard perlindungan terkini lebih realistik,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meranti itu menjelaskan, pihaknya sentiasa maklum kebimbangan rakyat khususnya di kawasan lembangan Sungai Golok terhadap risiko air banjir.

Beliau berkata, kerajaan negeri komited untuk memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat menjadi keutamaan dalam sebarang perancangan projek berkaitan pengurusan bencana.

Menurutnya, PLSB Sungai Golok perlu dilaksanakan segera bagi mengelakkan kerugian serta kerosakan harta benda dan kemudahan awam yang lebih besar pada masa hadapan.

Beliau berkata pembinaan ‘culvert’ yang dirancang ke kawasan penempatan penduduk berdekatan memberi kesan besar akibat luruan air semasa banjir melebihi ban Sungai Golok.

Menurutnya langkah mitigasi komprehensif perlu disediakan bagi menghadapi limpahan air dari Sungai Golok sehingga DUN Meranti dan kawasan sekitar melebihi 10 kilometer. – HARAKAHDAILY 11/12/2024

Ulasan