PM temui Presiden Indonesia batal: Perlu dijelaskan



PM temui Presiden Indonesia batal: Perlu dijelaskan
December 26, 2024

KUALA TERENGGANU: Kerajaan diminta memberi penjelasan telus berhubung isu pembatalan pertemuan antara Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, ia mencetuskan kekeliruan selepas kenyataan rasmi dari Indonesia menafikan alasan kesihatan sebagai punca pembatalan.

Beliau menyifatkan perkembangan tersebut sebagai serius kerana berpotensi memberi kesan negatif kepada hubungan diplomatik antara Malaysia dan Indonesia.

“Hubungan diplomatik antara Malaysia dan Indonesia adalah tunjang penting dalam kerjasama negara dengan rantau Asia Tenggara.

“Sebarang perkembangan yang melibatkan salah faham atau percanggahan maklumat boleh memberi kesan buruk kepada persepsi hubungan ini, selain mencalar kredibiliti kepimpinan negara.

“Justeru, saya menyeru Perdana Menteri untuk memberikan penjelasan yang telus dan konsisten berkenaan kekeliruan yang memalukan ini, agar spekulasi tidak terus berleluasa,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Pada 23 Disember, media melaporkan bahawa pertemuan antara Anwar dan Prabowo yang dijadualkan berlangsung di Pulau Langkawi, Kedah pada hari itu ditangguhkan.

Anwar berkata, beliau telah berada di Pulau Langkawi untuk pertemuan tersebut, namun Prabowo pada (22 Disember), memohon penangguhan selama beberapa hari kerana keadaan kesihatannya yang kurang baik.

Bagaimanapun, Indonesia menafikan Presiden, Prabowo membatalkan lawatan ke Malaysia adalah disebabkan demam, seperti yang didakwa oleh Anwar.

Memetik laporan portal berita _Kompas_, Setiausaha Kabinet Indonesia, Teddy Indra Wijaya sebaliknya berkata, Prabowo berada dalam keadaan sihat selepas menghadiri beberapa siri mesyuarat di Kaherah.

Menurut Amzad, kerajaan perlu bersikap berhati-hati dalam menguruskan hubungan diplomasi, terutamanya dengan negara jiran strategik seperti Indonesia.

“Adalah penting untuk memastikan setiap langkah yang diambil mencerminkan keprihatinan terhadap sensitiviti hubungan dua hala, sekali gus menjaga integriti pentadbiran di mata rakyat dan masyarakat antarabangsa,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 26/12/2024

Ulasan