
Sertai upacara agama lain: Siapa patut bertaubat?
December 28, 2024
ORANG Islam yang sambut dan ikut serta dalam upacara keagamaan lain, termasuk Krismas yang sepatutnya perlu bertaubat.
Manakala pihak yang memaksa, menggalakkan atau merestui orang Islam merosakkan akidah mereka dengan menyertai perayaan keagamaan lain itulah sebenarnya yang merosakkan keharmonian kaum.
Ibaratnya, orang Islam pergi ke majlis sambutan Krismas kemudian sebut secara terbuka ‘Jesus itu manusia yang diutuskan sebagai Nabi dan Rasul, bukan anak tuhan’.
Atau, orang Kristian ajak orang Islam ke sambutan Krismas dengan tujuan supaya mengiktiraf Jesus sebagai anak tuhan.
Begitu juga sebagai contoh lain, orang Hindu yang tidak setuju dengan upacara sembelihan korban orang Islam, mereka tak perlu hadir atau dijemput ke tempat sembelihan.
Sekiranya mereka hadir, pasti mereka tidak akan setuju dengan upacara penyembelihan lembu, sebab agama mereka tidak membenarkan.
Jadi samalah juga dengan orang Islam, tidak boleh berada dalam majlis upacara keagamaan lain.
Apakah ada orang Kristian sanggup untuk mengatakan bahawa Jesus itu manusia makhluk ciptaan Tuhan dan bukannya anak tuhan ataupun sebahagian daripada tuhan?
Ataupun adakah terdapat orang Islam yang hatinya redha berada dalam upacara majlis yang meraikan dakwaan bahawa tuhan itu ada anak?
{ وَقَالُوا۟ ٱتَّخَذَ ٱلرَّحۡمَـٰنُ وَلَدࣰا (88) لَّقَدۡ جِئۡتُمۡ شَیۡـًٔا إِدࣰّا (89) تَكَادُ ٱلسَّمَـٰوَ ٰتُ یَتَفَطَّرۡنَ مِنۡهُ وَتَنشَقُّ ٱلۡأَرۡضُ وَتَخِرُّ ٱلۡجِبَالُ هَدًّا (90) أَن دَعَوۡا۟ لِلرَّحۡمَـٰنِ وَلَدࣰا (91) وَمَا یَنۢبَغِی لِلرَّحۡمَـٰنِ أَن یَتَّخِذَ وَلَدًا (92) إِن كُلُّ مَن فِی ٱلسَّمَـٰوَ ٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ إِلَّاۤ ءَاتِی ٱلرَّحۡمَـٰنِ عَبۡدࣰا (93) }
[Surah Maryam: 88-93]
Maksudnya:
88- Dan mereka yang kafir berkata: “(Allah) ar-Rahman, mempunyai anak.”
89- Demi sesungguhnya, kamu telah melakukan satu perkara yang besar salahnya!
90- Langit nyaris-nyaris pecah disebabkan (anggapan mereka) yang demikian, dan bumi pula nyaris-nyaris terbelah, serta gunung-ganang pun nyaris-nyaris runtuh ranap, –
91- Kerana mereka mendakwa mengatakan: (Allah) ar-Rahman mempunyai anak.
92- Padahal tiadalah layak bagi (Allah) ar-Rahman, bahawa Dia mempunyai anak.
93- Tidak ada sesiapapun di langit dan di bumi melainkan ia akan datang kepada (Allah) ar-Rahman, sebagai hamba.
Sudah tentu perbuatan melanggar ajaran agama masing-masing, bukanlah toleransi dan keharmonian.
Jadi perlu faham dan hormat sensitiviti masing-masing.
Upacara keagamaan berbeza dengan sambutan adat budaya dan majlis keraian yang tiada kaitan dengan upacara keagamaan:
لَكُمۡ دِینُكُمۡ وَلِیَ دِینِ
“Bagi kamu ugama kamu, dan bagiku ugamaku,” (al-Kāfirūn: 6)
For you is your religion, and for me is my religion.
Berikut laporan Malaysiakini:
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menasihatkan pemimpin PAS supaya bertaubat dan tidak merosakkan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Menerusi satu kenyataan media, hari ini, pemimpin DAP itu juga menasihatkan rakyat agar menjauhi pihak-pihak yang menggunakan agama untuk kepentingan politik dan menimbulkan perpecahan.
“Saya menasihatkan parti PAS agar bertaubat dan tidak terus menyebarkan fitnah.”
Berita penuh: https://mk.my/iGfyQ0R
USTAZ MUHAMMAD RIF’AAT RAZMAN
Pengerusi Lajnah Dakwah Dewan Ulamak PAS Negeri Perak – HARAKAHDAILY 27/12/2024
Ulasan
Catat Ulasan