
Titah Adendum: ‘PM kata Agong sudah bukan lagi Agong?’
December 10, 2024
KUALA LUMPUR: Jawapan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PMX) berkenaan isu Titah Adendum melibatkan Dato’ Sri Najib Razak dianggap amat mengelirukan dan tidak menjelaskan isu sebenar di Dewan Rakyat, hari ini.
Ahli Parlimen Pasir Mas, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata, jawapan PMX berkenaan isu tersebut turut menimbulkan lebih banyak persoalan berbanding jawapan.
“PMX menyatakan bahawa pengampunan tidak dapat dilaksanakan kerana Agong pada ketika itu sudah bukan lagi Agong. Namun, fakta yang tersebar menunjukkan Titah Adendum ini bertarikh 29 Januari 2024, sedangkan tarikh terakhir Seri Paduka Baginda sebagai Agong ialah 30 Januari 2024.
“Ini bermaksud, semasa titah tersebut dikeluarkan, Baginda masih lagi menjadi Agong yang sah. Jadi, bagaimana PMX boleh mendakwa bahawa Agong tidak lagi menjadi Agong pada waktu tersebut?” soalnya.
Beliau juga menegaskan bahawa Titah Adendum itu adalah penting bagi menjunjung keluhuran perlembagaan, selain menghormati kuasa yang dimiliki oleh Yang di-Pertuan Agong.
“Sebagai wakil rakyat, saya ingin menegaskan dengan jelas bahawa isu ini bukan soal Najib Razak, bukan soal Umno. Ini adalah soal menjunjung keluhuran Perlembagaan dan menghormati kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong.
“Bayangkan jika isu ini melibatkan pemimpin daripada parti lain. Adakah kita masih akan bersikap sebegini? Undang-undang mesti ditegakkan secara adil dan saksama, sama ada pihak kerajaan atau pembangkang,” katanya.
Justeru, Ahmad Fadhli menggesa agar keluhuran Perlembagaan dapat dipertahankan tanpa mengira siapa yang terlibat.
“Jika kita membenarkan perkara ini berlaku terhadap Dato’ Sri Najib, apa yang akan berlaku jika kes ini melibatkan rakyat biasa atau pemimpin parti pembangkang?
“Keluhuran Perlembagaan perlu dipertahankan tanpa mengira siapa yang terlibat,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/12/2024
Ulasan
Catat Ulasan