
Tukar nama UPM: ‘Apa yang Abang Mat fikirkan?’
December 1, 2024
KUALA LUMPUR: Penolong Setiausaha Agung PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil menyifatkan cadangan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu sebagai tindakan tidak teliti dan gopoh.
Menurutnya, cadangan untuk menukar nama Universiti Putra Malaysia (UPM) kepada Universiti Pertanian Malaysia itu pernah diutarakan oleh Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 2018 ketika memegang portfolio sama.
Namun katanya, pendekatan Allahyarham lebih matang dan tersusun melibatkan perbincangan mendalam bersama pihak UPM dan beberapa tokoh dan individu yang terlibat secara langsung dalam pengembangan pertanian negara.
“Berbanding tindakan Abang Mat yang terus berhasrat membawa ke Kabinet, pendekatan yang dilakukan oleh almarhum Abang Din lebih matang dan tersusun. Malangnya usaha untuk menubuhkan sebuah universiti yang memfokuskan pertanian tidak kesampaian.
“Saya tidak pasti apa yang Abang Mat fikirkan dan dari mana idea tersebut diperolehi,” katanya turut mempersoalkan keupayaan perubahan nama itu dalam menyelesaikan isu bekalan beras tempatan dan kekurangan bekalan makanan.
Beliau menegaskan bahawa fokus seharusnya diberikan kepada pengembangan pendidikan dalam jurusan pertanian serta mempertingkatkan kajian yang berkaitan.
“Sama ada namanya PUTRA ataupun PUTRI atau apa nama jua sekalipun, ia bukan menjadi persoalannya. Lebih baik fokuskan kepada pengembangan dalam jurusan pendidikan yang ditawarkan ataupun mempertingkatkan serta memperbanyakkan kajian yang berkaitan,” gesa beliau.
Khairul Faizi juga menyentuh titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang tidak berkenan dengan cadangan tersebut dengan baginda sebagai Canselor UPM mendedahkan bahawa Menteri tidak merujuk kepada baginda mahupun Lembaga Pentadbir Universiti.
“Nampak sangat tindakan Abang Mat tidak teliti sehingga membelakangkan pihak yang lebih berautoriti. Lebih memalukan, didedahkan bahawa PUTRA telah dijenamakan semula sebagai ‘Pertanian Untuk Rakyat’ pada bulan Mei yang lalu oleh Sultan Selangor sendiri di Istana Alam Shah, Klang,” katanya.
Khairul Faizi menyimpulkan tindakan Mohamad Sabu yang tidak teliti dan gopoh itu akhirnya memalukan diri sendiri. – HARAKAHDAILY 1/12/2024
Ulasan
Catat Ulasan