Usaha selamatkan ternakan ikan di Laguna Semerak


Usaha selamatkan ternakan ikan di Laguna Semerak

Gali saliran air
December 4, 2024


PASIR PUTEH: Kerajaan negeri meluluskan peruntukan segera bagi menyelamatkan penternakan ikan kerapu hibrid di Laguna Semerak, Pasir Puteh.


Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi negeri, Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, sebanyak RM5,000 dilulus bagi membantu penternak membina saluran sementara bagi meningkatkan kemasukan air laut ke kawasan tersebut ketika musim tengkujuh.

Katanya, setiap kali musim tengkujuh penternak di laguna tersebut mengalami kerugian sehingga jutaan ringgit akibat ketiadaan kemudahan yang mengawal kemasukan air laut.

“Usaha untuk membuat saluran dapat meningkatkan aliran air laut. Isu ini juga akan dibawa ke peringkat kementerian bagi manfaat ekonomi rakyat dan jaminan sumber makanan negara,” katanya ketika meninjau lokasi terbabit hari ini. (Foto atas)

Turut hadir ADUN Semerak, Nor Sham Sulaiman dan Pengarah Jabatan Perikanan Kelantan, Dr Erniyta Osman.

Media sebelum ini melaporkan industri penternakan di Taman Akuakutur Laguna Sungai Semerak menyumbang lebih RM16 juta dalam tempoh 2020-2023 berdepan cabaran kualiti air berubah ketika musim tengkujuh.

Malah, kawasan kuala di Sungai Semerak pernah digali sebelum ini bagi menyelamatkan ternakan kerapu hibrid dan siakap putih setelah tertimbus lebih 10 tahun.

Bagaimanapun akibat fenomena semulajadi laluan air itu tertutup semula menyebabkan air laut tidak boleh memasuki Sungai Semerak pada musim tengkujuh. – HARAKAHDAILY 4/12/2024

Ulasan