1,347.6km pantai terhakis


1,347.6km pantai terhakis
KAWASAN pantai di Terengganu mengalami hakisan yang teruk disebabkan fenomena Monsun Timur Laut. - UTUSAN
Oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR
18 Januari 2025, 7:00 am

PETALING JAYA: Sepanjang 1,347.6 ki lometer (km) daripada 8,840km atau kira-kira 15 peratus daripada pantai di seluruh negara dikenal pasti mengalami hakisan sejak lebih tiga dekad lalu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, data tersebut berdasarkan Kajian Hakisan Pantai Negara (NCES) yang dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) untuk menilai masalah tersebut yang berlaku di negara ini.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, sepanjang 55.4km pantai mengalami hakisan kritikal apabila tahap pengunduran garis pantai berlaku dengan cepat, manakala 375.9km lagi mengalami hakisan amat ketara dan
selebihnya, 916.3km tidak serius.

Katanya, antara punca hakisan pantai disebabkan aktiviti pengorekan pasir laut yang tidak terkawal dan penebangan hutan bakau.

“Selain faktor alam semulajadi, aktiviti manusia seperti penebusgunaan tanah dan pembinaan struktur yang mengganggu pergerakan sedimen tanah juga mendorong berlakunya hakisan pantai.

“Namun, kerajaan serius menangani masalah ini dengan merangka teknologi dan inovasi terkini berkaitan pengawalan hakisan pantai agar dapat diadaptasi di negara ini. Antaranya, Pelan Pengurusan Pantai Bersepadu (ISMP) iaitu pengurusan komprehensif berkaitan pengurusan kawasan pantai dengan menyediakan strategi per lindungan kepada pesisir pantai,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, ne­geri-negeri Pantai Timur semakin hilang kawasan daratan apabila garis pantai di Terengganu, Pahang dan Kelantan mengalami ha­kisan sejauh 175km sepanjang tahun lalu.

Jarak hakisan itu melibatkan 49 lokasi dengan Terengganu paling banyak terjejas iaitu 34 kawasan sejauh 66.09km di­ikuti Pahang (11 kawasan sejauh 100km) dan Kelantan empat kawasan (9.2km).

FADILLAH YUSOF

Fadillah berkata, Kerajaan Persekutuan melalui Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) telah memperuntukan sebanyak RM672.7 juta di bawah Peruntukan Pembangunan untuk menangani masalah hakisan pantai.

Katanya, kesinambungan me­ngatasi masalah hakisan pantai diteruskan apabila JPS menggunapakai teknologi terkini dan melaksanakan ISMP di setiap negeri untuk memastikan pengurusan pesisir yang lestari dan bersepadu di sam­ping membina tembok.

“Selain itu, penggu­na­an teknologi ‘soft engineering’ (keju­ru­­teraan semula jadi) yang dapat di­se­suaikan dan menambahkan proses semula jadi penyuburan pantai seperti penanaman semula bakau untuk menstabilkan tanah pantai daripada hakisan terus berlaku,” katanya.

Menurut Fadillah, kerajaan juga menggunakan kaedah pe­­nyuburan pantai iaitu penyelesaian struktur lembut yang dapat digunakan untuk pencegahan hakisan garis pantai.

“Sebaik-baiknya bahan de­ngan saiz butiran dan kepadatan yang serupa atau lebih besar daripada bahan pantai semula jadi dan meletakkan secara buatan di bahagian pantai yang terhakis untuk menggantikan kekurangan struktur pantai,” katanya.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata, ISMP merupakan rancangan pengurusan kawasan pantai yang mengambil kira pelbagai perkara dan menggalakkan pembangunan lebih terancang melalui strategi pencegahan bagi mengurangkan impak negatif kepada alam sekitar.

Kata beliau, ISMP menyedia­kan garis panduan seperti ca­dangan pembangunan di kawasan pantai dan mewujudkan strategi pengurusan dalam pemuliharaan yang bertujuan untuk mengurangkan risiko kemusnahan dan ke­rugian akibat hakisan dan banjir pantai.

“Paling uta­ma adalah me­ng­op­ti­mum­kan penggunaan peruntukan sedia ada dengan me­ngam­bilkira masalah secara menyeluruh,” katanya. – UTUSAN

INFOGRAFIK

Kajian Hakisan Pantai Negara (NCES) mengkelaskan hakisan pantai kepada tiga kategori berdasarkan tahap keseriusan.

Kategori 1 sepanjang 55.4 km – Hakisan kritikal Pengunduran garis pantai yang cepat dengan kadar melebihi empat meter di kawasan dengan penduduk agak padat bersama aktiviti komersial yang mendapat perkhidmatan infrastruktur dan kemudahan awam.

Kategori 2 sepanjang 375.9 km – Hakisan ketara Pengunduran garis pantai dengan kadar lebih satu meter tetapi kurang dari empat meter di kawasan berpenduduk tidak padat dan sedikit aktiviti pertanian yang mendapat perkhidmatan infrastruktur dan kemudahan awam kurang sempurna.

Kategori 3 sebanyak 916.3 km – Hakisan belum serius Pengunduran garis pantai kurang dari satu meter di kawasan tanpa penduduk dengan aktiviti pertanian minimum yang tidak mendapat perkhidmatan infrastruktur dan kemudahan. – UTUSAN

Ulasan