
600,000 bakal hilang kerja jika tidak kuasai AI
RAKYAT negara ini khususnya para pekerja dalam kebanyakan sektor perlu bersedia berubah ke arah perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang sememangnya menjadi keperluan masa depan. - UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Oleh MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
27 Januari 2025, 6:50 am
KANGAR: Kira-kira 600,000 pekerja di negara ini bakal hilang pekerjaan dalam tempoh 10 tahun akan datang jika tidak menguasai teknologi kecerdasan buatan (AI).
Justeru, para pekerja dalam kebanyakan sektor perlu bersedia berubah ke arah perkembangan teknologi AI yang sememangnya menjadi keperluan masa depan.
Antara sektor yang dijangka terkesan ialah teknologi maklumat dan komunikasi, pembuatan farmaseutikal, pembuatan dan perkhidmatan makanan, perniagaan borong dan runcit, perkhidmatan perniagaan global, perkilangan, kewangan, perkhidmatan pelanggan dan logistik.
Ini berdasarkan laporan kajian impak AI terhadap pasaran kerja dijalankan oleh TalentCorp.
Pensyarah kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Perlis, Dr. Shamshul Anaz Kassim berkata, perubahan tersebut jika diambil daripada aspek positif sebenarnya mampu meningkatkan daya saing tenaga kerja Malaysia melalui program latihan semula (reskilling) dan peningkatan kemahiran (upskilling).
Katanya, AI bukan ancaman sebaliknya peluang besar untuk meningkatkan produktiviti, daya saing dan ekonomi.
Ujar beliau, melalui pendekatan proaktif dan usaha integrasi antara kerajaan, industri dan universiti serta institusi pendidikan, Malaysia mampu menjadi pemimpin teknologi AI di rantau ASEAN dan global.
“Bagi mengatasi cabaran AI, Malaysia juga dilihat aktif dalam membangunkan bidang AI seperti penubuhan pusat latihan AI dengan menyediakan program latihan berskala besar dalam kemahiran teknologi serta insentif kepada majikan dengan memberikan pengecualian cukai kepada syarikat yang melaksanakan program latihan pekerja
“Selain itu, peningkatan pengetahuan dan kemahiran AI melalui pendidikan kepada masyarakat tentang potensi dan kemajuan AI serta dasar etika AI iaitu memastikan teknologi digunakan secara beretika tanpa menjejaskan kebajikan pekerja.
“Usaha tersebut juga diharap dapat memastikan manfaat teknologi AI dirasai oleh semua lapisan masyarakat. Perubahan ini memang menyakitkan tetapi membawa manfaat besar untuk masa depan negara dan para pekerja serta masyarakat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Katanya, mentaliti sebagai rakyat, pekerja, organisasi, industri dan kerajaan seharusnya sentiasa kena bersedia menerima perubahan tersebut demi kelangsungan kemajuan pemikiran dan kemajuan negara.
Tambah beliau, selain AI, automasi antaranya kini sudah menggantikan tugas rutin dalam sektor perkilangan manakala sistem pintar seperti chat bot pula mengubah cara kerja dalam sektor kewangan dan perkhidmatan pelanggan.
Katanya, teknologi seperti dron dan pengurusan rantaian bekalan pintar juga semakin mengurangkan pergantungan terhadap tenaga kerja manual dalam sektor logistik.
“Kemahiran seperti analitik data, pembelajaran mesin dan pengurusan teknologi canggih kini menjadi keperluan utama.
“Pekerja perkhidmatan pelanggan contohnya pula boleh menggunakan teknologi AI untuk meningkatkan kualiti interaksi dengan pelanggan. Begitu juga dalam sektor perkilangan, pekerja perlu mahir mengendalikan dan menyelenggara mesin automasi,” katanya.
Katanya, perkembangan tersebut juga memerlukan keseimbangan antara kemajuan teknologi berkenaan dan kepentingan tenaga kerja agar mereka tidak kehilangan pekerjaan melalui penggantian kerja berkenaan oleh AI. – UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan