
AMK memalukan parti sendiri
January 15, 2025
PEMUDA PAS Malaysia dengan tegas menolak kenyataan yang dikeluarkan oleh Angkatan Muda Keadilan (AMK) bertajuk ‘Wan Rohimi: Fitnah, Dangkal dan Memalukan PAS’. Kenyataan tersebut adalah tidak bertanggungjawab, tidak berasas, dan jelas berniat untuk mencemarkan imej PAS serta memutarbelitkan fakta.
Pertama, AMK menyatakan bahawa tuduhan Wan Rohimi kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyembunyikan Titah Adendum tersebut sebagai fitnah dan hanya mencari publisiti murahan. Walaupun beliau telah mengaku bahawa Titah Adendum itu wujud, tapi beliau masih tidak mengaku bahawa kerajaan bertanggungjawab menyorok titah tersebut.
Hal ini kerana, jika benar Perdana Menteri ke-10 (PMX) dan kerajaan tidak sorok Titah Adendum tersebut, mengapa hanya selepas setahun dan setelah Datuk Seri Najib Razak melalui proses naik turun mahkamah bagi menentukan kewujudan adendum tersebut sehingga memperoleh keputusan mahkamah, barulah PMX mengakui kewujudan dokumen tersebut.
Kedua, AMK menyatakan bahawa Wan Rohimi mengungkit kembali tuduhan liwat Dato Seri Anwar Ibrahim walaupun telah menerima pengampunan diraja dan menuduh tanpa bukti. AMK perlu faham, biarpun telah diberi pengampunan diraja, ia masih tidak mengubah fakta sabitan kesalahan tersebut melainkan ada keputusan mahkamah yang lain untuk membatalkannya.
Kebenarannya, ungkitan terhadap kes liwat tersebut bukanlah suatu fitnah kerana mahkamah telah menjatuhkan hukuman tersebut melalui bukti dan keterangan yang jelas. Jika AMK mengatakan tuduhan liwat tersebut sebagai fitnah, adakah AMK menafikan keputusan mahkamah dan mengapa sehingga dua kali PMX disabitkan dengan kesalahan yang sama. Jangan disebabkan ketaksuban terhadap PMX, sehingga AMK sanggup menafikan keputusan mahkamah.
Justeru, Pemuda PAS Malaysia dengan ikhlas hati ingin menasihati AMK agar menyelidiki, menganalisis dan memahami dengan sebenar-benarnya dahulu sesuatu isu sebelum menyerang. Kini, kelihatannya AMK pula yang dangkal dan memalukan parti sendiri.
NAZRUL NAZIR
Pengarah Komunikasi Strategik
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 15/1/2025
Ulasan
Catat Ulasan