
Bandar pinggir pantai bakal lenyap
PERUBAHAN iklim global yang mengakibatkan kenaikan paras laut sehingga lebih satu meter dan hakisan pantai yang semakin serius menjelang 2100.
Oleh FATIN NORIZATI MAT ISA dan KAMALIZA KAMARUDDIN
16 Januari 2025, 7:00 am
PETALING JAYA: Dalam tempoh 75 tahun akan datang, beberapa bandar di pinggir pantai seluruh negara ada kemungkinan akan lenyap akibat hakisan.
Antara bandar yang dikenal pasti mengalami hakisan pantai yang kritikal ialah di pesisir pantai Terengganu, Kelantan dan Pahang. Masalah hakisan serius juga turut berlaku di pesisir pantai Sabah dan Sarawak.
Ini berikutan perubahan iklim global yang mengakibatkan kenaikan paras laut sehingga lebih satu meter dan hakisan pantai yang semakin serius menjelang 2100.
Selain itu, pembangunan di zon pantai seperti penambahan infrastruktur dan pembangunan tanpa mengira kesan jangka panjang turut menjadi penyumbang kepada kejadian tersebut.
Justeru, bagi mengelak kejadian itu berlaku, kerajaan perlu membina benteng hakisan ombak yang akan mencecah kos berbilion ringgit.
Felo Pusat Kejuruteraan Sungai dan Pantai, Fakulti Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Ir. Dr. Mohamad Hidayat Jamal berkata, kawasan pesisir pantai berisiko tenggelam antara 0.2 meter sehingga 1.06 meter secara kekal, sekali gus negara bakal kehilangan tanah dalam jumlah yang besar sehingga mencecah ribuan hektar.
Menurutnya, beberapa kawasan kini menghadapi masalah pengecilan kawasan daratan akibat hakisan pantai atau banjir.
Katanya, hakisan pantai berpunca daripada ombak kuat terutama semasa musim tengkujuh, selain penyusutan kawasan hutan bakau yang sepatutnya menjadi pelindung semula jadi di pesisir pantai dan muara sungai.
“Kenaikan paras laut akibat perubahan iklim turut mempercepatkan proses hakisan pantai, sekali gus meningkatkan risiko limpahan air di kawasan rendah berhampiran pantai.
“Fenomena ini menyumbang kepada penyusutan kawasan daratan dan mengancam infrastruktur awam seperti jalan raya serta kawasan penempatan penduduk,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, akhbar ini melaporkan negeri-negeri di Pantai Timur semakin hilang kawasan daratan apabila garis pantai di Terengganu, Pahang dan Kelantan mengalami hakisan sepanjang 175 kilometer sepanjang tahun lalu.
Menurut laman web rasmi Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor – Pengurusan Pantai, kawasan garis pantai di Malaysia mencatatkan jumlah keseluruhan sepanjang 4,809 kilometer (km) melibatkan 14 negeri di seluruh negara.
Berdasarkan laporan itu, garis pantai di Malaysia mengalami hakisan pantai sepanjang 1,414.5km dengan paling teruk di Sabah (295.5 km) diikuti Johor (234.8km) dan Pantai Timur sejauh 175km.
Semakan berdasarkan sumber aplikasi MyLot yang dibangunkan oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) 2024 menunjukkan banyak lot harta tanah di pesisir pantai seluruh Malaysia tenggelam disebabkan oleh hakisan pantai.
Dalam pada itu, Pakar Meteorologi Universiti Malaya (UM), Prof. Datuk Dr. Azizan Abu Samah berkata, kajian menunjukkan purata kelajuan angin musim tengkujuh di kawasan selatan Laut China Selatan meningkat sejak 1990-an.
Beliau berkata, fenomena ini menyumbang kepada peningkatan hakisan pantai di Pantai Timur Semenanjung serta kawasan pantai di Sabah dan Sarawak yang berhadapan dengan Laut China Selatan yang turut dikaitkan dengan perubahan iklim iaitu pemanasan global.
“Ketinggian ombak dan kekuatan hakisan sangat bergantung kepada kelajuan angin. Ketika luruan monsun berlaku, paras laut di Pantai Timur meningkat dan disertai ombak tinggi yang boleh mencapai ketinggian sehingga tiga meter.
“Ombak ini akan semakin tinggi apabila sampai ke pantai, sebelum memecah dan menyebabkan hakisan. Bentuk dan profil kedalaman pantai turut mempengaruhi tahap hakisan.
“Apabila satu kawasan pantai mengalami hakisan, arus akan membawa pasir tersebut ke kawasan lain yang menyebabkan ada pantai kehilangan tanah manakala pantai lain mungkin mengalami pertambahan pasir,” katanya.
Pensyarah Fakulti Sains dan Bumi, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof. Dr. Aweng Eh Rak pula berkata, hakisan pantai membawa kesan besar terhadap ekosistem pantai termasuk memusnahkan habitat hidupan di kawasan pantai sama ada di dalam air atau daratan.
Menurut beliau, hakisan pantai turut menjejaskan hasil tangkapan laut oleh nelayan pantai, sekali gus memberi kesan ekonomi kepada komuniti setempat.
“Kenaikan paras air pasang besar dan angin kencang akan memperburukkan hakisan pantai. Walaupun kesan angin terhadap paras air pasang adalah kecil, gabungan kedua-dua faktor ini boleh menyebabkan banjir dan hakisan yang lebih serius,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu (Pengurusan Bencana), Hanafiah Mat berkata, sejumlah RM2.4 bilion anggaran kos diperlukan untuk membina benteng pemecah ombak di sepanjang 34 pantai yang terjejas teruk akibat hakisan di negeri itu.
Katanya, ia adalah anggaran kasar berdasarkan kos pembinaan benteng pemecah ombak lingkungan RM5 juta hingga RM10 juta bagi setiap kilometer, bergantung pada struktur binaan.
Katanya, struktur binaan benteng mempengaruhi kos yang boleh berbeza bergantung kepada reka bentuk sama ada benteng konkrit, tetrapod atau gabion.
“Lebih teruk kategori tahap hakisan yang berlaku, maka kos ini juga bertambah kerana struktur yang dibina perlu lebih kukuh.
“Ini hanya anggaran kasar, untuk kos sebenar tentulah perlukan kajian lebih terperinci dari pihak yang berautoriti,” ujarnya. – UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan