
Bukan tunggang, tapi pertahan undang-undang
January 7, 2025
KUALA LUMPUR: Kehadiran Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) pada himpunan solidariti bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Tun Razak di pekarangan Istana Kehakiman adalah untuk mempertahankan prinsip kedaulatan undang-undang dan bukan kerana mana-mana individu.
Ketua DHPP, Balasubramaniam Nachiappan mengaskan PAS, termasuk DHPP, tidak pernah menunggang mana-mana pemimpin demi keuntungan politik, sebaliknya hanya menghulurkan tangan kepada mereka yang memerlukan, termasuk ketika menghadapi kecaman atau cabaran besar.
“DHPP memandang serius kegagalan Kerajaan Madani untuk memberi penjelasan yang tuntas mengenai isu adendum. Isu berkaitan pendedahan adendum oleh Istana Pahang membuka dimensi baru terhadap perbicaraan dan keputusan membabitkan Dato’ Sri Najib.
“Tuduhan bahawa kerajaan cuba menyembunyikan maklumat daripada rakyat bukanlah sesuatu yang boleh dipandang remeh. DHPP menuntut penjelasan mengenai perkara ini, agar kepercayaan rakyat terhadap institusi kerajaan dapat dipulihkan.
“Sikap sesetengah menteri yang memperlekehkan adendum sebagai khabar angin adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Menurut Balasubramaniam lagi, rakyat berhak tahu kebenaran, oleh sebab itu DHPP berdiri bersama rakyat dalam menuntut hak untuk mengetahui fakta sebenar yang telah disorokkan.
“Langkah menafikan hak ini hanya akan merosakkan asas demokrasi kerana apabila fakta sebenar akhirnya didedahkan, ia mengundang kejutan dan impak besar terhadap keyakinan rakyat terhadap institusi negara.
“DHPP menyeru agar sistem kehakiman diberikan ruang untuk berfungsi secara bebas, telus, dan adil. Sekiranya ada elemen tidak adil terhadap Najib, ia perlu diperbetulkan tanpa tekanan politik,” katanya.
Sementara itu tambah beliau, DHPP menyeru Kerajaan Madani segera tampil memberikan penjelasan yang telus, lengkap dan berani kepada rakyat.
“Kegagalan untuk bertindak sedemikian hanya akan merosakkan lagi kepercayaan terhadap kepimpinan negara serta mencetuskan krisis keyakinan terhadap demokrasi di negara ini.
“Pendirian PAS dari awalnya amat jelas iaitu mendapatkan kesahihan mengenai kewujudan adendum tersebut dan bila ia diketahui wujud, kerajaan wajib mengambil tanggungjawab untuk melaksanakannya,” katanya.
Jelasnya, DHPP akan terus memperjuangkan nilai-nilai keadilan, ketelusan, dan demokrasi demi kesejahteraan rakyat dan negara. – HARAKAHDAILY 7/1/2025
Ulasan
Catat Ulasan