
DAP diingat tidak putar belit, ambil Islam ikut selera
January 22, 2025
SHAH ALAM: DAP perlu menginsafi teguran yang dibuat oleh Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang melalui Minda Presiden yang bertajuk ‘Apabila DAP campur urusan Islam’.
Ketua Penerangan PAS Selangor, Zurk Ahmad berkata, jika DAP benar-benar ingin memahami Islam, lakukan dengan niat yang ikhlas, bukan untuk mencari kelemahan atau memutarbelitkan fakta.
“Apabila DAP cuba campur tangan atau mengulas isu berkaitan urusan umat Islam tanpa memahami asasnya, ia hanya membuka ruang salah faham, kekeliruan dan kekacauan.
“DAP juga diharap jangan campur adukkan ajaran Islam dengan ideologi yang tidak sesuai. Jika ingin menghormati umat Islam, kenali dan pelajari Islam dengan sebenarnya. Jangan diambil mengikut selera sahaja.
“Dalam sejarah Malaysia, kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan bukanlah hasil rekaan sewenang-wenangnya dan Islam tidak pernah menjadi halangan kepada keharmonian masyarakat majmuk sebaliknya membawa keadilan untuk semua.
“Malangnya, campur tangan DAP sering menimbulkan isu sama ada melalui kenyataan atau tindakan, sikap mereka sering mengguris sensitiviti umat Islam.
“(Sikap DAP juga) boleh mencetuskan Islamofobia. Ini adalah tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh menggugat keharmonian negara,” katanya dalam kenyataan.
Zurk turut menyeru umat Islam bersatu mempertahankan maruah agama dan memastikan urusan agama Islam kekal di tangan yang amanah.
“Semoga kita semua diberi kefahaman yang benar untuk membezakan kebenaran dan kebatilan,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/1/2025
Ulasan
Catat Ulasan