DAP singgung Islam: Kebetulan atau disengajakan?


DAP singgung Islam: Kebetulan atau disengajakan?

Mahu lihat reaksi umat Islam?
January 22, 2025

ALOR SETAR: Kiasan kisah orang buta dengan gajah yang disebut oleh Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam kenyataannya, amat tepat dan sesuai dengan situasi berlaku kini.

Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya berkata, tindak tanduk atau kefahaman seseorang itu selalunya bergantung kepada sejauh mana pengetahuan mengenai sesuatu perkara yang dilakukan.

“Ibarat kisah orang buta dengan gajah. Mereka nak mengenal pasti rupa bentuk seekor gajah. Kalau dia berpaut pada kaki si gajah, dia akan mengatakan gajah itu seperti tiang elektrik.

“Kalau dia berpaut pada telinga, dia akan mengatakan gajah itu besar dan luas. Kalau dia berpaut pada gadingnya, maka gajah itu akan dikatakan bertanduk keras.

“Sedangkan kesemua itu adalah ciri-ciri bagi seekor gajah,” kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily mengulas tulisan terkini Tuan Guru Abdul Hadi bertajuk ‘Apabila DAP campur urusan Islam’.

Tegas beliau, hakikatnya seperti itulah sedang ditanggapi DAP terhadap Islam di mana mereka melihat Islam sekadar ritual, maka segala syariat Islam yang lain dianggap tidak penting.

“Ini juga bermakna mereka sekadar memahami Islam sebagai ‘religion‘ atau agama dan istilah ‘religion‘ ini pula mengikut tafsiran penjajah. Bukan tafsiran Islam sendiri terhadap makna ‘agama’ sebagai terjemahan terhadap istilah ‘religion‘ sebenar,” tegasnya.

Oleh sebab itu katanya, apabila DAP melanggar soal akidah umat Islam, contohnya berkenaan larangan sambutan Krismas, mereka tidak merasakan itu kesalahan besar.

Malah sekali lagi katanya, perasaan umat Islam dicederakan dengan komen beberapa pemimpin DAP berkenaan isu sandwic ‘ham’ yang ditemui dijual menggunakan logo Halal palsu, di kedai serbaneka Universiti Malaya (UM) baru-baru ini.

Sedangkan isu halal dan haram tersebut tegas Dato’ Ahmad adalah perkara sangat mustahak bagi seseorang Muslim, malah kadang-kadang yang tidak bertudung (menutup aurat) juga sensitif dengan setiap dimakannya.

“Adakah singgungan demi singgungan pemimpin DAP ini berlaku secara kebetulan atau sengaja dilanggar untuk melihat reaksi umat Islam?

“Maka, sewajarnya pihak berwajib betulkan keadaan tersebut. Usah biarkan Islam ditegakkan mengikut selera sesetengah pemimpin DAP yang bercelaru,” tegasnya lagi.

DAP kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu, hanya menunggang agama Islam untuk kepentingan tersendiri, walhal kewajipan mempertahankan kesucian Islam ada di atas pundak setiap umatnya, bukan hanya kepada PAS.

Namun tegasnya, perkara berlaku saban hari lebih menyentuh isu-isu 3R yang sensitif, apatah lagi melanggar Perlembagaan Persekutuan dan dilihat semakin meruncing dalam negara.

“Ironinya, umat Islam yang bangkit mempertahankan agama pula dianggap rasis dan ekstrem sedangkan pihak yang membuat kesalahan dibelai oleh pihak pemerintah,” bidas beliau lagi. – HARAKAHDAILY 22/1/2025

Ulasan