Tidak seperti janji era reformasi
January 4, 2025
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu menunjukkan ketelusan dalam pentadbiran dan tidak menyembunyikan maklumat penting daripada rakyat, tegas Penyelidik Akademi Tamadun Alam Melayu (TAMU), Zaharah Sulaiman.
Beliau menyuarakan kebimbangan terhadap kekurangan ketelusan dan ruang bersuara dalam pemerintahan hari ini, yang disifatkan semakin terkongkong.
Menurutnya, rakyat hanya ingin tahu fakta asas mengenai sesuatu isu tanpa memerlukan perincian yang melanggar batas undang-undang, seperti isu berkaitan adendum dalam kes melibatkan bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Razak.
“Jika dari awal kerajaan dan pihak istana menjelaskan bahawa adendum itu wujud, tetapi tidak boleh didedahkan kerana subjudis, itu sudah memadai. Rakyat tidak meminta lebih daripada itu, tetapi masalahnya ialah tiada ketelusan langsung,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Sidang media tergempar itu turut dihadiri oleh Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustaffa; Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Syed Hassan Syed Ali serta Naib Pengerusi UMMAH, Hishamuddin Abu Bakar.
Zaharah turut mengkritik kerajaan hari ini kerana sering menyekat maklumat, menyebabkan rakyat seolah-olah tidak diberi peluang untuk memahami situasi sebenar.
Beliau menegaskan bahawa kebebasan bersuara yang dijanjikan sebelum ini kini menjadi sekadar retorik.
“Sewaktu era reformasi dahulu, mereka mendakwa akan telus dalam semua perkara. Namun kini, kita lihat banyak sekatan terhadap isu yang rakyat ingin bangkitkan,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan tindakan menyekat platform media sosial seperti TikTok yang digunakan untuk menyuarakan pandangan, walaupun kandungannya tidak berkaitan dengan politik tempatan.
Zaharah juga menyeru kerajaan agar lebih mendengar suara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili rakyat marhaen.
“Kami daripada enam NGO mungkin kecil, tetapi di bawah kami ada berjuta (rakyat). NGO ialah suara rakyat, dan kerajaan perlu mendengar jika ingin memahami keadaan sebenar,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa rakyat biasa, terutamanya yang bekerja sendiri, sedang bergelut dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.
“Kerajaan perlu memahami nasib orang yang kais pagi makan pagi. Harga barang naik, tetapi tidak semua orang menerima gaji tetap seperti kakitangan kerajaan,” katanya lagi.
Zaharah turut membandingkan pemerintahan kerajaan hari ini dengan Barisan Nasional (BN) dahulu, yang disifatkan lebih ‘longgar’ dalam beberapa aspek.
“Sebagai contoh, isu mudah seperti caj parkir. Tiada penyelesaian disediakan, tetapi rakyat terus dikenakan denda sehingga RM300 bagi kesalahan kecil. Adakah ini wajar?” soalnya.
Beliau menyeru kerajaan untuk lebih peka terhadap keperluan rakyat dan tidak menyembunyikan maklumat penting yang sepatutnya diketahui umum.
“Ketelusan itu yang kami mahu. Jika ada adendum, nyatakan sahaja. Tidak perlu berselindung. Isu ini bukan perkara besar, tetapi cara ia dikendalikan membuatkan rakyat hilang kepercayaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/1/2025
Ulasan
Catat Ulasan