Ilmu haruslah diletakkan pada tempat yang selayaknya



Ilmu haruslah diletakkan pada tempat yang selayaknya
ILMU yang diperoleh seharusnya menjadikan seseorang yang berilmu itu memahami maksudnya pada makna hakikat.
Oleh Halimi Mohd. Khalid
7 Januari 2025, 8:00 am

Majlis pengijazahan atau juga dikenali sebagai konvokesyen merupakan acara tahunan yang sangat dinanti-nantikan graduan, ibu bapa dan ahli akademik di semua institusi pengajian tinggi (IPT).

Majlis ini bukan sahaja menjadi simbol kejayaan akademik seseorang graduan, malah ia melambangkan pencapaian cemerlang dalam usaha menuntut ilmu serta mengangkat martabat keilmuan.

Dalam konteks pendidikan tinggi, majlis ini menjadi platform untuk memberi pengiktirafan kepada pencapaian pelajar, pensyarah dan institusi pendidikan itu sendiri. Ia mencerminkan penghargaan kepada usaha gigih serta pengorbanan yang dilakukan oleh para graduan sepanjang tempoh pengajian mereka.

Pemakaian rasmi graduan dalam istiadat konvokesyen yang terdiri daripada jubah dan topi mortar membawa takrifan menjunjung ilmu yang dianugerahkan kepada mereka. Manakala bagi ahli akademik menyarung jubah dan memakai topi di hari konvokesyen memberikan simbolik ilmu yang dijunjung dan disampaikan kepada para pelajar.

Menelusuri sejarah pemakaian jubah dan topi mortar semasa majlis konvokesyen di seluruh dunia telah menemukan fakta-fakta yang sangat menarik. Menurut catatan Genius Book of Record universiti pertama di dunia yang mengadakan majlis konvokesyen untuk penganugerahan ijazah kepada pelajar-pelajarnya ialah Universiti Al Qarawiyyin yang terletak di kota Fez Morocco.

Universiti Al Qarawiyyin adalah universiti yang tertua di dunia. Ia diasaskan sebagai masjid oleh Fatima al-Fihri pada 857–859 dan seterusnya berkembang menjadi salah satu pusat kerohanian dan pendidikan terkemuka pada zaman keemasan Islam dan masih beroperasi sehingga ke hari ini.

Catatan sejarah ini juga menemukan hubungan antara pemakaian jubah dan topi mortar pada majlis-majlis konvokesyen dengan tradisi pemakaian para graduan. Pakaian pengijazahan yang biasa dipakai di seluruh dunia hari ini berasal dari pakaian Arab iaitu thawb atau qamees yang bermaksud jubah.

Amalan pemakaian arab atau pakaian muslim yang longgar dan lebar kekal hingga kini dan tersebar ke seluruh dunia. Jack Goody dalam bukunya bertajuk Islam in Europe menyatakan pakaian Arab (thawb) kekal sebagai tanda integriti skolastik yang paling tulen dan paling jelas sehingga hari ini, terutamanya semasa acara akademik seperti perbahasan dan pengijazahan.

Pemakaian topi mortar juga merupakan tradisi Islam yang dipakai para ulama di sana. Topi rata itu digunakan untuk meletakkan al-Quran bagi melambangkan ketinggian kitab suci itu berbanding akal.

Rumbai di bahagian belakang topi mortar digunakan sebagai penanda halaman al-Quran yang dibaca. Dalam situasi pemakaian jubah konvokesyen, pelajar membawa topi mortar sebagai simbol membawa al-Quran.

Topi tersebut hanya boleh diletakkan di atas kepala apabila seseorang pelajar itu menamatkan pengajiannya. Ia sebagai simbol ketinggian ilmu yang dimilikinya dan berikrar akan menyampaikan ilmu yang dikuasainya dengan tulus ikhlas dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap ilmu yang dimiliki.

Momen penting penyerahan skrol yang menjadi lambang penyerahan segulung ijazah kepada para graduan adalah simbolik yang perlu difahami. Perkataan ijazah berasal daripada perkataan kata dasar bahasa arab ajaza iaitu membenarkan atau mengizinkan.

Menurut Fayruzabadi dalam kitabnya al-Qamus al-Muhi menyatakan ia bermakna memberi kebenaran, kuasa atau hak untuk mengajar. Ia juga boleh difahami sebagai kebenaran untuk menggunakan ilmu yang telah dipelajari dalam kehidupan seharian mengikut bidang masing-masing.
Ilmu yang diperoleh haruslah diletakkan pada tempat dan kedudukan yang betul agar ilmu dan orang yang berilmu berada pada kedudukan yang tidak bertentangan antara satu sama lain.

Merujuk kepada perbahasan dalam bidang epistemologi Islam iaitu satu bidang kajian berkaitan teori ilmu menemukan kita dengan pelbagai maksud ilmu dari perspektif Islam. Antaranya sebagaimana yang dinyatakan oleh Fakhr al-Din al-Razi iaitu makna ilmu pengetahuan ialah kedatangan jiwa pada makna sesuatu benda.

Manakala menurut Syed Muhammad Naquib al-Atas, ilmu bermaksud merujuk kepada Allah sebagai asal segala ilmu, ia (ilmu) adalah ketibaan makna sesuatu ke dalam diri seseorang. Apabila merujuk kepada diri sebagai pentafsir, ilmu adalah ketibaan diri seseorang kepada makna tentang sesuatu.

MAKNA ILMU
Pemaknaan yang diberikan oleh para cendikiawan ini menyedarkan kita bahawa ilmu yang dipelajari seharusnya menjadikan seseorang yang berilmu itu memahami maksudnya pada makna hakikat.

Pertama, perlu difahami bahawa semua ilmu yang diperoleh adalah berpunca dari Allah SWT yang bersifat al Alim (Maha Mengetahui). Hakikat ini menyedarkan kita bahawa manusia itu bersifat lemah. Manusia tidak mampu untuk memahami dan memperoleh sesuatu ilmu itu melainkan dengan keizinan Allah SWT.

Kedua, ilmu yang dipelajari seharusnya membawa individu tersebut untuk lebih mengenal Tuhannya.

Manakala yang ketiga, orang yang berilmu seharusnya bersifat tawaduk iaitu merendah diri, tidak sombong dan angkuh, menghormati orang lain serta berakhlak dengan sifat yang lemah lembut dan bersopan.

Allah SWT telah memberi penjelasan bahawa wujud perbezaan antara orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu sebagaimana firman-Nya dalam Surah az Zumar yang bermaksud : “Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.”

Justeru, ilmu haruslah diletakkan pada tempat yang selayaknya dan tidak dijadikan sebagai ‘bahan dagangan’ bagi tujuan meraih kedudukan serta kemuliaan hidup di dunia semata-mata.

Sebaliknya, ilmu perlu dijadikan sebagai wahana untuk meningkatkan kualiti diri dalam kehidupan bermasyarakat dan disisi Allah SWT.-UTUSAN

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Islam, Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Ulasan