Ipoh dilanda banjir kilat


Ipoh dilanda banjir kilat
Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri - Januari 5, 2025 @ 9:53pm

Taman Cempaka di Ipoh dilanda banjir kilat akibat hujan lebat petang tadi. - Foto ihsan JBPM Perak

IPOH: Hujan lebat disusuli ribut petir petang tadi menyebabkan beberapa kawasan di bandar raya ini dilanda banjir kilat.

Antara kawasan terjejas di Taman Cempaka dan difahamkan di pekan Tambun, Pekan Razaki dan Kampung Sungai Rokam.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh menerima panggilan berkaitan banjir di Taman Cempaka iaitu di Persiaran Cempaka Sari 11 pada 5.41 petang.

Katanya, setakat 8.30 malam belum ada penduduk di Taman Cempaka yang dipindahkan dengan paras air sedalam 0.6 meter.

"Seramai tujuh anggota melakukan operasi pemantauan membabitkan tujuh jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT)," katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, menjengah ke ruangan media sosial, difahamkan banjir kilat berlaku antaranya di Jalan Raja Dihilir membabitkan Taman Rekreasi Padang Polo hingga persimpangan Jalan Sultan Azlan Shah.

Ulasan