‘Islam ala DAP’: Waspada agenda halus mengelirukan



‘Islam ala DAP’: Waspada agenda halus mengelirukan

DAP konon hormat Islam, tetapi menentang syariat
January 22, 2025

KUALA TERENGGANU: Ketua Penerangan PAS Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi memberi peringatan keras kepada umat Islam supaya tidak terpedaya dengan pendekatan yang digelarnya sebagai ‘Islam ala DAP’.

Beliau berkata, agenda tersembunyi DAP dalam mencampuri urusan Islam perlu disedari oleh semua pihak, terutama umat Islam yang sering kali bersikap terlalu bersangka baik.

“Kita akui bersangka baik adalah satu akhlak terpuji. Namun, Allah juga mengingatkan kita supaya sentiasa berwaspada. Lihat kepada Perlembagaan DAP sendiri tidak mengiktiraf Malaysia sebagai sebuah negara Islam,” katanya kepada HarakahDaily.

Beliau diminta mengulas berhubung tulisan Minda Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, bertajuk ‘Apabila DAP campur urusan Islam’, di sini hari ini.

Menurut beliau, tulisan Presiden PAS, adalah nasihat penting kepada umat Islam agar tidak membiarkan pihak tertentu menyalahgunakan konsep keadilan Islam untuk kepentingan politik mereka.

“Kenyataan Tuan Guru Presiden PAS adalah nasihat kepada umat Islam supaya berhati-hati dengan ‘Islam ala DAP’ kerana DAP pandai manipulasi kelemahan orang Melayu yang kuat bersangka baik,” ujarnya.

Khalil yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri, turut mengkritik sikap hipokrit DAP yang kelihatan seolah-olah menghormati Islam, tetapi pada masa sama menentang pelaksanaan syariat Islam.

“Pimpinan DAP sebelum ini pernah hadir ke majlis ilmu bersama Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, namun kemudiannya memberi amaran kepada Kerajaan Negeri Kelantan agar tidak melaksanakan undang-undang Islam.

“Mereka juga sering memuji tokoh-tokoh Islam seperti Saidina Umar al-Khattab, tetapi pada masa yang sama memperjuangkan supaya bukan-Islam boleh menjadi Perdana Menteri Malaysia.

“Ini menunjukkan mereka tidak benar-benar memahami atau menghormati prinsip Islam,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk.

Terdahulu, Tuan Guru dalam tulisannya mengalu-alukan DAP untuk memahami Islam, dengan mengikut pembacaan yang dilakukan secara jujur dan ikhlas, dengan niat ingin mencari kebenaran dan kebaikan bukannya mencari keburukan tanpa hujah benar dan mendalam.

“Hendaklah dibaca keseluruhan ajaran Islam yang tidak sama dengan makna perkataan agama atau ‘religion‘ dalam pelbagai bahasa selain bahasa al-Quran. Adapun perkataan Islam sebenarnya adalah daripada perkataan ‘al-din‘ dalam bahasa Arab (bahasa al-Quran).

“Kemudian, hendaklah dibaca sejarahnya pula. Bermula dari zaman Rasulullah SAW yang melahirkan para khalifah, raja yang adil dan para pemimpin yang berjaya dalam segala lapangan, sehingga melahirkan tamadun Islam yang berjasa kepada seluruh dunia.

“Semuanya mestilah dibaca secara keseluruhan daripada sumber ajaran Islam sebenar yang asal, daripada kitab sucinya (al-Quran) dan kenyataan rasul yang membawanya (Sunnah).

“Kalau bukan sumbernya yang sebenar, maka tidak lengkap dan tidak tepat dengan hakikatnya yang sebenar. Maklumatnya tidak sempurna dan salah, sehingga boleh berlaku salah faham terhadap Islam dan umatnya,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/1/2025

Ulasan