Jasa Tunku Abdul Rahman dikenang sepanjang masa



Jasa Tunku Abdul Rahman dikenang sepanjang masa
TUNKU Abdul Rahman semasa di Majlis menandatangani Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu dengan Setiausaha Tanah Jajahan British, Alan Lennox-Boy, di Lancaster House, London pada 8 Februari 1956.
Oleh Meja Rencana
4 Januari 2025, 9:00 am

SIR Gerald Templer ketika menyampaikan pesanan peribadinya kepada Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj menyatakan mengenai tanggungjawab untuk memimpin rakyat Tanah Melayu ke arah menjadi bangsa yang bersatu.

Abdul Rahman merupakan perdana menteri yang pertama. Jasa beliau bukan sekadar memugar kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 1957 tetapi juga membentuk Persekutuan Malaysia pada 1963.

Sebagai pemimpin yang mementingkan keamanan, beliau mengambil inisiatif berunding dengan Parti Komunis Malaya (PKM) yang diketuai oleh Chin Peng. Ini membawa kepada peristiwa Rundingan Baling pada 28 dan 29 Disember 1955.

Insiden 13 Mei 1969 menjadi salah satu cabaran besar yang dihadapi beliau selepas negara mencapai kemerdekaan. Berikutan itu Majlis Gerakan Negara (Mageran) dibentuk untuk meredakan keadaan. Beliau melepaskan semua tugas kepada timbalannya, Tun Abdul Razak Hussein.

Kebijaksanaannya ialah apabila menggerakkan ke arah pembentukan Rukun Negara yang menjadi prinsip kebangsaan bermula 31 Ogos 1970.

Beliau meletak jawatan sebagai Perdana Menteri pada 22 September 1970 dan mengisi masa dengan melaksanakan kerja-kerja amal di dalam dan luar negara.


Negarawan tersebut kembali ke Rahmatullah pada 6 Disember 1990 ketika berusia 87 tahun. Pemergiannya amat dirasai oleh seluruh rakyat Malaysia.

Sebagai mengenang jasa dan sumbangan beliau terhadap tanah air, satu projek Memorial Tunku Abdul Rahman Putra dilancarkan pada 7 Julai 1992.

Pengorbanan beliau menebus kemerdekaan dan berkorban kemewahan tidak ternilai. Pendekatan kesederhanaannya menjadi perintis utama terhadap keharmonian hubungan kaum di Malaysia.

Perjuangannya sebelum dan selepas kemerdekaan akan menjadi sebahagian daripada sejarah bangsa Malaysia. Jasanya kepada negara perlu dikenang sentiasa.-UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. MOHAMED ALI HANIFFA
Pengerusi Program Sarjana Muda Sejarah Gunaan Dengan Kepujian, Jabatan Tamadun dan Falsafah, Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah, Universiti Utara Malaysia (UUM)

Ulasan