Kelantan komited pastikan kebajikan terjamin 2025



Kelantan komited pastikan kebajikan terjamin 2025
January 1, 2025

KOTA BHARU: Kerajaan negeri melaungkan komitmen untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan bagi Menteri Besar, Dato Panglima Perang Mohd Nassuruddin Daud.

Beliau berkata kedatangan tahun baru Januari 2025 dan bulan Islam Rejab 1446 Hijrah merupakan detik terbaik bagi memperbaharui azam selain membaiki kelemahan dan memperkukuhkan pencapaian.

Malah beliau turut meminta semua rakyat Kelantan agar dapat menghayati hasrat kerajaan negeri bagi memulakan tahun 2025 dengan penuh semangat, kesyukuran dan nikmat yang dikurniakan tuhan.

“Menginjak ke tahun baharu ini, marilah kita memulakan langkah dengan penuh kesyukuran kepada Allah SWT atas segala nikmat yang diberikan, ini merupakan detik terbaik baik bagi kita.

“Ini adalah waktu untuk kita menggandakan usaha dan amalan, memperkukuhkan azam serta memastikan kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan kita,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Kerajaan negeri melalui Urus Setia Belia dan Sukan menganjurkan Ambang Tahun Baharu 2025 yang bertemakan Anak Muda Berselawat di Pasaraya Mydin, Bandar Baru Tunjong di sini malam tadi.

ADUN Meranti itu mengakui tahun 2025 bakal membuka satu lagi episod bagi kerajaan negeri berusaha mempertingkatkan agenda kebajikan, kemakmuran dan keberkatan rakyat.

Beliau juga meminta setiap lapisan rakyat agar memberi sokongan padu terhadap usaha kerajaan negeri mengemudi pembangunan Kelantan ke arah lebih baik masa akan datang selaras Kelantan Sejahtera 2033.

“Tahun 2025 juga adalah waktu untuk kita menggandakan usaha, memperkukuhkan azam dan memastikan kesejahteraan rakyat Kelantan terus menjadi keutamaan.

“Saya mendoakan agar tahun baharu ini akan diberi kekuatan bagi saya dan seluruh kepimpinan kerajaan negeri bagi memaksimakan kebajikan, kemakmuran dan keberkatan kepada seluruh rakyat,” katanya. HARAKAHDAILY 1/1/2025

Ulasan