Lantik anak Zahid Hamidi: Lagi ‘pencapaian’ tatakelola Madani


Lantik anak Zahid Hamidi: Lagi ‘pencapaian’ tatakelola Madani
January 13, 2025

LANTIKAN Datuk Nurul Hidayah, anak kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sebagai Ahli Lembaga Pengarah Universiti Putra Malaysia (UPM) telah mencetuskan persoalan dalam kalangan rakyat mengenai kelayakan dan soal profesionalisme bagi lantikan jawatan penting di institusi awam.

Surat pelantikan yang ditandatangani oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, menyatakan bahawa pelantikan ini adalah berdasarkan komposisi individu yang ‘berpengetahuan dan berpengalaman.’

Namun begitu, apakah sebenarnya kelayakan dan pengalaman yang membolehkan beliau dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah. Apa yang ditonjolkan hanyalah beliau pernah melanjutkan pelajaran ke UPM dalam Ijazah Sarjana Muda Komunikasi pada tahun 1999.

Sebelum ini sudah beberapa kali kita lihat lantikan ‘anak beranak’, ahli keluarga dan lantikan politik dalam GLC atau jawatan-jawatan penting, telah dilakukan oleh Kerajaan Madani sejak membentuk kerajaan. Antaranya ialah:

1. Pelantikan Nurul Izzah Anwar sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri ke-10 (PMX) pada awal pentadbiran Kerajaan Madani.

2. Pelantikan Dr Asyraf Wajdi sebagai Pengerusi MARA.

3. Pelantikan Young Syefura dan Syahredzan Johan sebagai Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Bank Rakyat.

4. PMX membawa Nurul Izzah dalam legasi lawatannya ke Peru.

Oleh itu, pelantikan Datuk Nurul Hidayah sebagai Ahli Lembaga Pengarah UPM serta beberapa lantikan politik sebelum ini, jelas mencerminkan amalan kronisme yang bertentangan dengan janji reformasi dan tatakelola yang sering dilaungkan oleh Kerajaan Madani.

Laungan reformasi yang diuar-uarkan selama ini tidak lebih hanyalah retorik kosong dan sandiwara semata-mata, malah budaya kronisme dan nepotisme pula semakin mekar dalam pentadbiran negara. Inilah satu lagi kejayaan buat Kerajaan Madani yang selama ini bertungkus-lumus ‘mengamalkan tatakelola yang baik’ dalam pentadbiran negara sempena tahun 2025 ini.

‘Tahniah’ Kerajaan Madani.

“Moving Forward”

PROFESIONAL ISTIQAMAH – HARAKAHDAILY 13/1/2025

Ulasan