Lim Guan Eng dijemput sertai himpunan solidariti Najib
January 1, 2025
KANGAR: Ketua Penerangan PAS, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari, menjemput Pengerusi DAP, Lim Guan Eng untuk menyertai perhimpunan solidariti menyokong Dato’ Sri Najib Razak yang bakal diadakan minggu depan.
Menurutnya, perhimpunan itu bertujuan menegakkan keluhuran Perlembagaan susulan keputusan yang bakal menentukan sama ada Najib layak dikenakan tahanan rumah.
“Jangan bimbang soal prinsip, kita hanya ingin memastikan keadilan ditegakkan. Jika terbukti Najib berhak mendapat tahanan rumah, itu adalah hak beliau.
“Maka, perhimpunan ini adalah untuk menyokong keluhuran Perlembagaan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Forum Perdana Islam sempena Karnival Tahun Baharu di Dewan 2020, malam tadi.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu turut menasihatkan Ahli Parlimen Bagan tersebut supaya tidak terus mempertikaikan prinsip dalam isu ini.
“Saya nasihatkan Lim Guan Eng, tak perlulah bising soal prinsip. Kita bukan nak memberikan DNAA (Pembebasan Tanpa Dibebaskan) kepada orang yang sudah diperintah membela diri.
“DAP sendiri telah menerima individu yang dahulu mereka kritik untuk menjadi sebahagian kabinet. Jadi, tidak ada apa-apa lagi soal prinsip yang perlu mereka bimbangkan. Saya dengan terbuka menjemput Lim untuk turut hadir dalam perhimpunan ini,” katanya.
Kenyataan itu dibuat sebagai reaksi kepada kritikan Guan Eng terhadap kerjasama PAS dan Umno menganjurkan perhimpunan tersebut.
Guan Eng sebelum ini mendakwa langkah itu mencabar kestabilan politik dan keikhlasan Umno dalam Kerajaan Perpaduan.
Dalam pada itu, Fadhli mengingatkan Umno agar tidak terlalu mengikut telunjuk DAP, yang dilihatnya sebagai usaha untuk menguasai parti itu secara total.
“Saya rasa Umno pun sudah mula sedar bahawa DAP tidak akan berpuas hati melainkan Umno mengikut telunjuk DAP sepenuhnya.
“Dengan apa yang dikatakan oleh Lim Guan Eng ini, saya percaya Umno sudah melihatnya sebagai isyarat jelas bahawa DAP mahu menguasai mereka sepenuhnya,” tegasnya.
Mengulas lanjut, Fadhli berkata PAS sentiasa mendukung prinsip keadilan untuk semua, termasuk untuk Lim sendiri jika suatu hari nanti menghadapi kes yang serupa.
“Jika Lim Guan Eng satu hari nanti didapati bersalah tetapi layak menerima Pengampunan Diraja, kita akan menyokong keadilan untuk beliau juga. Itu pendirian kita,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 1/1/2025
Ulasan
Catat Ulasan