
Mahkamah Rayuan sahkan Titah Adendum wujud
January 6, 2025
PUTRAJAYA: Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyifatkan keputusan Mahkamah Rayuan Putrajaya sebentar tadi mengesahkan wujudnya dokumen penting yang sebelum ini tidak dibenarkan penggunaannya.
Mahkamah Rayuan itu tadi membenarkan rayuan Dato’ Sri Najib Razak terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk mendapatkan kebenaran bagi memfailkan semakan kehakiman sebelum ini.
Keputusan ini dibuat oleh tiga hakim Mahkamah Rayuan, dengan dua hakim bersetuju membenarkan rayuan Najib berdasarkan bukti baharu diperkenalkan dalam bentuk afidavit yang mengesahkan dokumen tersebut.
“Menurut afidavit yang dikemukakan oleh Datuk Mohamad Nizar (Najib), titah daripada Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada mulanya tidak membenarkan penggunaan dokumen tersebut pada bulan Ogos.
“Tetapi pada bulan Disember, Yang dipertuan Agong akhirnya membenarkan penggunaan salinan dokumen itu, yang dikenali sebagai Adendum.
“Dalam penghakimannya, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa bukti baharu yang diterima, termasuk pengesahan daripada Istana Pahang mengenai kewujudan Titah Adendum itu cukup untuk membenarkan rayuan dan memberikan kebenaran kepada Najib meneruskan permohonannya.
“Sehubungan itu, kes ini akan dikembalikan ke Mahkamah Tinggi bagi pengurusan kes dan keputusan lanjut mengenai pelaksanaan kandungan dokumen,” katanya ketika sidang media di pekarangan Istana Kehakiman, di sini hari ini.
Menurut Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu, proses berkenaan akan dijalankan di hadapan hakim lain, bukan hakim sama dan telah menolak permohonan awal itu.
“Kes ini dijangka akan diteruskan dengan pengurusan kes di Mahkamah Tinggi pada 13 Januari 2025,” maklumnya.
Sebelum ini, Najib selaku pemohon, meminta perintah mandamus untuk memaksa tujuh pihak selaku responden menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum bertarikh 29 Januari tahun lepas.
Pihak terbabit ialah Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-undang dan Reformasi Institusi).
Juga Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM, dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga ketujuh.
Pada 23 Ogos 2022, Najib dihukum meringkuk di Penjara Kajang selama 12 tahun dan denda RM210 juta, selepas didapati bersalah atas tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).
Bagaimanapun, pada 2 Februari tahun lalu, Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman itu kepada penjara enam tahun dan denda RM50 juta, menyaksikan Najib akan dibebaskan lebih awal iaitu pada 23 Ogos 2028. – HARAKAHDAILY 6/1/2025
Ulasan
Catat Ulasan