Membelakangkan titah satu bentuk penderhakaan


Membelakangkan titah satu bentuk penderhakaan
January 8, 2025


JOHOR BAHRU: Kenyataan rasmi pihak Istana Pahang yang mengesahkan kewujudan Titah Adendum kepada bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Tun Abdul Razak telah memberi tamparan hebat kepada Kerajaan Madani pimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Penerangan PAS Negeri Johor, Abu Irfan Muhammad Al-Urduni berkata, isu itu kembali hangat apabila pihak mahkamah dan kehakiman membicarakan untuk memastikan kesahihan wujudnya titah tersebut.

“Siapakah yang terlibat menyembunyikan Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong? Apakah ini suatu penderhakaan ke atas titah Yang di-Pertuan yang cuba disenyapkan?

“Apakah rahsia disebalik tindakan menyembunyikan Titah Adendum tersebut? Semuanya akan terjawab nanti,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, pada Selasa.

Beliau turut menegaskan bahawa tindakan menyembunyikan dokumen penting itu, jika benar berlaku merupakan suatu bentuk penderhakaan terhadap titah Yang di-Pertuan Agong.

“Namun sebagai seorang yang bergelar rakyat Malaysia lebih-lebih lagi yang dilantik sebagai pemimpin tidak seharusnya bertindak membelakangkan titah Yang di-Pertuan Agong tersebut.

“Ia boleh dilihat sebagai tindakan derhaka terhadap titah Yang di-Pertuan Agong. Justeru Kerajaan Madani dilihat derhaka kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/1/2025

Ulasan